Posted on: 13/01/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 400 hingga 600 slot pekerjaan ditawarkan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd anak syarikat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), menerusi Program Peluang Kerjaya dan Temuduga Terbuka pada 15 dan 16 JanUARI ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata program yang diadakan di Dewan Besar Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis bermula 8 pagi hingga 6 petang, bertujuan membantu golongan asnaf dan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

Katanya, terdapat tujuh slot disusun pada hari pertama program melibatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kulim Hi Tech Park (KHTP), Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC) Sungai Petani bermula 9 hingga 11 pagi.

Pada sebelah petang, bermula 3 hingga 6 petang, program diteruskan dengan slot bersama The Otomotof College (TOC), McDonalds Malaysia dan Restoran Mohd Chan Group Berhad.

“Bagi slot 12 tengah hari hingga 3 petang, ia masih terbuka kepada mana-mana syarikat yang ingin menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.

Turut serta Syarikat The Welding Institute (TWI), Shah Alam, Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC), KOBE Precision Technology Sdn Bhd (KPTec), Perniagaan Mokti’s, Restoran Amber Chinese Muslim dan Wahyuni Beauty and Spa, Kangar yang akan mengisi slot pada hari kedua program tersebut.

Sebarang pertanyaan atau permasalahan boleh menghubungi Eksekutif, Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Nur Farhana Junaidi di talian 017-4036900 atau 012- 5834439.

Sumber: BERNAMA