Posted on: 15/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melakar sejarah apabila dianugerahkan dua sijil Malaysia Book Of Records iaitu Musim Kehadiran Benih Semulajadi Kerang Terpanjang selama 18 Bulan dan Pendaratan Benih Kerang Semulajadi Terbesar dalam satu musim dari 4 November 2019 hingga 31 Mei 2021 di pantai Teluk Lekir, Perak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata anugerah itu adalah hasil kajian Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) sejak 2009 yang menilai kesesuaian cadangan tapak ternakan kerang selain kajian Batimetri dalam usaha memahami keadaan arus kedalaman dasar, trend perubahan suhu dan kemasinan air laut. 

“DOF telah berjaya menunjukkan kejutan suhu (kaedah) yang mampu mengaruhkan pembenihan kerang di makmal. Pada tahun 2018, sejumlah 10,000 kilogram (kg) induk kerang matang pelbagai saiz telah ditabur di Projek Kebun Kerang Lekir  dan sekali gus menjadikan jumlah pendaratan benih kerang pada tahun berikutnya adalah sekitar 238.89 tan metrik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyasikan penyerahan sijil MBOR kepada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Mohd Sufian Sulaiman sempena  Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Expo Agro Malaysia (MAEPS) semalam. 

Sebelum pelaksanaan kajian itu, pengeluaran benih kerang di kawasan itu adalah pada kadar 20.97 tan pada 2016 dan 2017.

Ahmad berkata terdapat tiga kaedah pembenihan aruhan kerang yang digunakan dalam kajian tersebut secara aruhan fizikal, kimia dan biologi.

“Tiga model berkait dengan pembenihan aruhan ini telah dicadangkan iaitu Cadangan Lokasi Pembenihan Aruhan, Cadangan Musim Pembenihan Aruhan dan Cadangan Lokasi Kejatuhan Benih,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad berkata DOF juga dalam perancangan untuk membangunkan teknik ternakan kerang-kerangan yang lebih cepat sekali gus mengurangkan tempoh ternakan tersebut sekitar lapan sehingga 12 bulan berbanding kaedah sebelum ini iaitu antara 18 hingga 24 bulan. 

Sementara itu, beliau berharap industri kerang negara dapat dipulihkan semula dan Malaysia kembali menjadi pengeluar kerang terbesar di Asia Tenggara selain membantu menjana sumber ekonomi baharu terutamanya kepada golongan B40 yang terlibat dengan ternakan kerang.

Sumber: BERNAMA