Posted on: 15/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memberi tumpuan kepada tiga aspek utama dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), selaras dengan inisiatif Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata tiga aspek utama itu ialah pengukuhan infrastruktur komunikasi, menarik pelaburan digital dan membina tenaga kerja serta modal insan dalam sektor teknologi digital. 

“Bagi memperkukuh ekosistem kesalinghubungan, K-KOMM telah melaksanakan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA sebagai usaha memperluaskan liputan dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar secara menyeluruh melalui pelbagai inisiatif serta mempersiapkan negara bagi peralihan kepada teknologi 5G. 

“K-KOMM turut menambah baik infrastruktur ekosistem kesalinghubungan di bawah pelan JENDELA+ bagi menyokong pelaksanaan MyDIGITAL. JENDELA+ tertumpu kepada tiga unsur iaitu kesalinghubungan antarabangsa (international connectivity atau IC), internet exchange point (IXP) dan pusat data (data centre atau DC),” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad yang ingin tahu langkah kementerian menjadikan Malaysia sebagai hub ICT di Asia Tenggara.

Bagi aspek pelaburan digital pula, Annuar berkata K-KOMM menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah merangka strategi dan perancangan untuk lima tahun (2021-2025) yang menumpukan pada lima teras utama bertujuan menarik pelaburan dan memajukan ekonomi digital negara.

Lima teras utama itu antaranya menyasarkan pelaburan RM50 bilion dalam ekonomi digital, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital, menarik 50 syarikat teknologi Fortune 500 untuk beroperasi di Malaysia dan membolehkan lima syarikat unicorn global beroperasi di negara ini, katanya.

Beliau berkata antara pelan tindakan strategik yang dilaksanakan oleh MDEC untuk menarik pelaburan luar (FDI) dan domestik (DDI) serta memposisikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN termasuk memperkasakan Pejabat Pelaburan Digital (DIO), platform kolaborasi bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai tetingkap tunggal (single window) untuk memudah cara pelaburan digital.

“Selain itu ialah  kolaborasi antarabangsa dan peringkat negeri untuk mempercepatkan pendaratan pelaburan digital; mempercepatkan penjanaan permintaan domestik untuk memacu pelaburan strategik;  memastikan kesediaan lokasi pelaburan untuk menyokong inisiatif Malaysia Digital; memacu pelaburan semula syarikat digital di Malaysia dengan mempromosikan peluang pasaran dalam inisiatif Malaysia Digital,” katanya.

Sumber: BERNAMA