Posted on: 17/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka sistem e-placement iaitu e-Housemen, e-Dentist dan e-Pharmacist  mulai pertengahan September (2022) bagi membolehkan pegawai membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian berikutan tawaran pelantikan secara tetap.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemakluman mengenai tarikh sistem tersebut mula dibuka akan dikemukakan kepada pegawai satu minggu lebih awal menerusi e-mel.

“Tarikh kuat kuasa untuk pegawai melapor diri bertugas pula ditetapkan pada 17 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata seramai 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang ditawarkan lantikan tetap boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mulai 29 Ogos.

Khairy berkata pengambilan seramai 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi itu merupakan urusan pengambilan jawatan tetap yang terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak bagi jawatan tersebut diperkenalkan pada 2016. 

Pelantikan 4,053 pegawai itu melibatkan 3,215 pegawai perubatan, 438 pegawai pergigian dan 400 pegawai farmasi.

Khairy berkata pengambilan jawatan tetap itu juga merupakan perjawatan tetap tambahan yang pertama kali dilaksanakan sejak 2015.

Untuk rekod, beliau berkata sejak Dasar Pengoptimuman Sumber Manusia dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam mula dilaksanakan pada 2015, tiada perjawatan baharu diluluskan melainkan dibuat secara tukar ganti dengan perjawatan kosong sedia ada.

Khairy berkata selain perwujudan jawatan tetap tambahan pada tahun ini, kerajaan juga telah bersetuju untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,500 perjawatan tetap tambahan melibatkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi pada setiap tahun bermula 2023 sehingga 2025.

Kerajaan juga telah bersetuju sebanyak 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM  setiap tahun mulai tahun hadapan  bagi menampung keluaran pakar perubatan tetap di fasiliti kesihatan di bawah KKM, katanya.

Khairy berkata bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap, perkhidmatan kontrak mereka masih diteruskan mengikut kontrak berkuat kuasa.

Bagi yang sedang berkhidmat di bawah khidmat wajib pula, mereka akan ditawarkan pelantikan semula secara kontrak selama dua tahun lagi selepas kontrak khidmat wajib tamat bagi tujuan kesinambungan perkhidmatan dan selain itu, mereka juga berpeluang dilantik semula secara kontrak selama empat tahun lagi bagi mengikuti pengajian kepakaran.

Khairy berkata pegawai yang tidak dilantik secara tetap pada kali ini masih berpeluang untuk memohon semula dalam urusan pengambilan secara tetap pada tahun hadapan. 

KKM pada Februari lepas mengumumkan keputusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan sejumlah 4,186 perjawatan tetap tambahan pada 2022 yang melibatkan 3,586 jawatan pegawai perubatan, 460 jawatan pegawai pergigian dan 400 jawatan pegawai farmasi.

Susulan daripada keputusan itu, iklan pengambilan secara tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi telah dikeluarkan mulai 1 Mac 2022 hingga 15 Mac 2022, manakala urusan temu duga telah dilaksanakan mulai 8 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022.

Sumber: BERNAMA