Posted on: 18/08/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kebenaran mengeksport ayam akan dipertimbang selepas bekalan dalam negara untuk rakyat tidak terjejas bagi memastikan harga bahan mentah itu dapat dikawal, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata pada masa sama, isu membabitkan pemberian subsidi kepada penternak bagi membolehkan ayam standard dijual pada harga siling runcit RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia juga perlu diperhalusi.

“Jadi isunya kita tidak boleh tangani hanya soal eksport, kita kena tangani juga soal selama mana subsidi itu nak dikekalkan.

“Kalau kita tiba-tiba terus membenarkan eksport dan pada masa yang sama ditamatkan subsidi maka harga ayam akan melambung sekali lagi,”  katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata Kabinet ada membincangkan isu kebenaran mengeksport ayam dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengemukakan beberapa syor.

Beliau berkata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 70 juta ekor sebulan atau kira-kira 2.2 juta ekor sehari dan walaupun dikatakan bekalan melebihi keperluan ketika ini iaitu kira-kira 3.5 juta ekor namun kerajaan hanya akan membenarkan eksport jika ia tidak menjejaskan keperluan domestik.

“Demi untuk menjaga kepentingan rakyat kerana ayam sudah boleh dianggap sebagai satu keperluan asas bagi semua keluarga, kerajaan akan hanya buat keputusan selepas semua perkara diteliti dan satu kaedah akan diperkenal kalau sekiranya nanti ayam hendak dieksport.

“Jadi jawatankuasa jihad akan lihat pekara ini dan nantinya bila dah ada satu pendekatan, barulah mungkin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh membawa semula kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya.

Annuar juga berkata Pasukan Jihad Tangani Inflasi telah mengarahkan Jabatan Perangkaan untuk membuat kajian bagi menetapkan kos sebenar ayam di peringkat ladang.

Beliau berkata kaedah itu sama seperti yang dilakukan untuk menetapkan harga siling minyak masak tulen kemasan botol dan kerajaan telah mengambil kira harga komoditi sawit dari pelbagai sudut sebelum menetapkan harga munasabah yang perlu dibayar oleh rakyat.

“Sepertimana yang kita lakukan untuk minyak masak, apabila harga CPO (minyak sawit mentah) berada pada tahap tertentu kita boleh kira berapa harga yang adil yang harus pembeli-pembeli runcit membelinya, dengan kita meletakkan satu paras harga maksimum.

“Dengan cara demikian, harga minyak yang dibeli oleh rakyat kita dapat pastikan ia rendah dan tidak berlaku pencatutan yang menyusahkan orang ramai,” katanya.

Sumber: BERNAMA