Posted on: 21/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneliti beberapa kawasan lain di ibu negara untuk dijadikan sebagai lokasi bebas kenderaan, susulan kejayaan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada setiap Ahad sejak 28 Ogos lepas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata antara lokasi yang dilihat berpotensi untuk mewujudkan kawasan pejalan kaki di tengah bandar adalah di sekitar Bukit Bintang.

“Selepas Jalan TAR, kita bercadang untuk melaksanakannya di sekitar Hotel Federal kerana kawasan itu ialah lokasi tumpuan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, kita masih dalam sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta orang awam dan sekiranya berjaya, perkara itu akan diumumkan nanti,” katanya selepas melancarkan Kongres CityNet kesembilan di sini hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Dalam pada itu, Mahadi berkata pihaknya menerima maklum balas positif daripada semua pihak termasuk peniaga dan orang awam berhubung penutupan Jalan TAR pada setiap Ahad.

“Oleh itu, kita merancang untuk membawa lebih banyak program dan aktiviti untuk menjadikan tempat itu lebih meriah.

“Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, jadi kita perlu mendapatkan maklum balas orang ramai bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul selepas itu,” katanya.

Sementara itu, Mahadi berkata Kongres CityNet  yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini  disertai 230 peserta dari dalam dan luar negara bertujuan mengadakan jaringan kerjasama antarabangsa antara bandar-bandar di Asia Pasifik yang menganggotai CityNet.

Kongres yang bertemakan ‘City for All: Activating Access for Urban Growth’ itu turut disertai 25 Datuk Bandar dari 15 negara antaranya Bangladesh, Filipina, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka selain penyertaan dari Putrajaya, Seberang Perai dan Subang Jaya.

“Ia akan merangkumi pelbagai isu yang memerlukan perbincangan mendalam antaranya soal perubahan iklim, pengurusan bencana, perancangan infrastruktur dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagai usaha membangunkan bandar masa depan yang berdaya tahan, boleh didiami dan mampan sambil menambah baik keadaan bandar semasa.

“Kita juga akan membawa peserta melawat tiga lokasi di ibu kota iaitu Projek Teknologi Hijau Wangsa Maju, Kuala Lumpur SDG Centre dan Razak Mansion yang boleh dianggap sebagai kejayaan DBKL dalam mentadbir Kuala Lumpur,” katanya.

Sumber: BERNAMA