Posted on: 21/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 10 hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menerima pengiktirafan sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) kerana menyediakan fasiliti serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan.

Hospital berkenaan ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu; Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam di Selangor; Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan di Perak. 

Turut menerima pengiktirafan ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah; Hospital Pulau Pinang; Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Pontian, Johor serta Institut Kanser Negara di Putrajaya. 

Sijil pengiktirafan HMI disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali kepada wakil-wakil hospital pada  Konvokesyen HMI peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff. 

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Dr Noor Azmi berkata HMI ialah  program kerjasama KKM dan JAKIM bagi memenuhi keperluan spiritual pesakit semasa mendapat rawatan di fasiliti kesihatan melalui pelaksanaan ibadah.

“Melalui program ini, pihak hospital beri kemudahan tunaikan solat, beri motivasi kepada pesakit malah mengajar bagaimana berwuduk dan solat bagi orang yang sakit. Ini penting kerana solat itu satu ibadah,” katanya. 

Ditanya adakah HMI akan diperluaskan ke hospital swasta, beliau berkata pihaknya membuka ruang dan peluang untuk hospital swasta turut sama mengaplikasi HMI di tempat masing-masing.

“(Program  ini) secara sukarela, kalau boleh memang kita ingin semua hospital terapkan HMI…buat masa ini, hasratnya adalah untuk perkasakan HMI di hospital kerajaan,” katanya.

Audit pengiktirafan standard HMI dilaksanakan barisan pegawai dilatih oleh sekretariat HMI serta standard yang dibangunkan oleh KKM dan JAKIM.

Standard HMI mengandungi enam teras utama iaitu organisasi dan pengurusan; pembangunan dan pengurusan sumber manusia; polisi dan prosedur; peralatan dan kemudahan; aktiviti keselamatan dan peningkatan kualiti serta kerjasama agensi luar.

Sumber: BERNAMA