Posted on: 23/09/2022 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Usahawan kecil disaran mengambil peluang daripada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) untuk mengembangkan perniagaan mereka menerusi platform e-dagang.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek berkata saranan itu adalah usaha kerajaan untuk membantu usahawan meningkatkan taraf sosioekonomi terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar.

“Saya ingin menggalakkan usahawan kecil yang belum berkecimpung dalam platform e-dagang supaya datang ke PEDi untuk mendapatkan maklumat lanjut bagaimana mereka boleh mempromosikan dan memasarkan produk jualan dengan lebih berkesan dan efektif.

“Kita lihat trend sekarang, orang berniaga melalui platform e-dagang kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Ada usahawan PEDi yang dapat meningkatkan hasil jualan mereka dari RM500 kepada RM10,000 melalui e-dagang, jadi ambil peluang ini untuk tingkatkan perniagaan mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di PEDi Seberang Terus, di sini semalam.

Beliau berkata sehingga kini terdapat seramai 25,136 usahawan aktif PEDi di seluruh negara dan 2,374 daripada jumlah itu adalah usahawan di Kedah.

“Setakat ini, sebanyak 3.2 juta peserta telah menyertai latihan PEDi di seluruh negara. Rata-rata usahawan PEDi ini melibatkan mereka yang menjual produk makanan selain ada juga yang menjual produk lain seperti pakaian dan kosmetik.

“Tahap jualan yang diperolehi oleh usahawan ini bergantung kepada jenis produk yang dijual tetapi ia memang menunjukkan peningkatan ketara apabila mereka menggunakan platform e-dagang itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad berkata kementerian juga merancang untuk mewujudkan pusat itu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih belum mempunyai PEDi bagi membolehkan semua masyarakat mendapat faedah daripadanya. 

“PEDi ini bukan setakat untuk membantu usahawan, ia juga sekali gus dapat membantu meningkatkan tahap literasi (digital) masyarakat setempat selain boleh memberi kemudahan komputer dan Internet kepada penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA