WARRIORS KE?

Saya tahu isu ni terpampang dengan begitu meluas di akhbar-akhbar hari ni. Saya berharap sangat mesej tersebut sampai kepada manusia-manusia yang terlibat dalam kejadian di Stadium Nasional Bukit Jalil minggu lepas.

Inilah lagi satu sikap orang Malaysia yang telah berjaya meletakkan tahap mentaliti kita di kelas ketiga di mata dunia. Tahniah la kepada penyokong fanatik bolasepak Kelantan yang sukses menjahanamkan harta awam dengan begitu teruk sekali.

Mungkin mereka yang berbuat demikian bukan terdiri daripada mereka yang membayar cukai, dan tentunya mereka tak mempunyai “sense of belonging” kepada banyak benda, termasuklah harta awam seperti tempat duduk di stadium berkenaan. Dan seperti biasa, mereka akan salahkan pihak berkuasa sebab kononnya kawalan keselamatan yang longgar. Surprise, suprise..

Semuanya berbalik atas diri sendiri. Kalau pada asalnya, datang dengan niat yang jelasnya tak baik, dilengkapi dengan mercun dan bunga api, kenapa perlu salahkan orang lain? Sekarang harta dah dijahanamkan, adakah mereka dapat kemenangan yang diidamkan? Apa kena mengena kerusi tu dengan kekalahan pasukan Kelantan?

Kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa tiada sesiapa pun akan dihalang dari memasuki stadium walaupun penyokong fanatik yang bersikap buruk kerana ia bercanggah dengan semangat kesukanan jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa masih ada timbangrasa. Jadi kenapa manusia-manusia ni susah sangat nak bertimbangrasa?

Ni semua berkisar kepada sikap. Sesungguhnya tiada siapa boleh ubah sikap kita yang buruk tu melainkan diri kita sendiri. Jangan kerana nila setitik, semua rakyat Malaysia dicap sebagai pengganas pula.. Ubahlah sikap buruk tu sebelum terlambat.

  • 13 Comments
  • Filed under: Umum
  • SIKAP ORANG ZAMAN SEKARANG

    Terkejut saya membaca akhbar hari ni. Terpampang begitu besar tentang ketidakwarasan orang zaman sekarang ni. Sebelum ni memang banyak disiarkan berita orang dera anak, dera amah, dan macam-macam jenis dera lagi.. tapi kali ni memang betul-betul klimaks la pada saya.

    Isu cemburu ni. Orang selalu kata, kalau cemburu tu tandanya sayang. Tapi kalau dh cemburu sampai sanggup berbunuhan ni, apa pulak ceritanya?

    Sebelum ni pun memang kita ada dengar cerita orang simbah asid kepada suaminya, simbah asid kepada isterinya sehingga isterinya meninggal.. tapi itu kebanyakannya melibatkan generasi yang lebih muda, yang jelas memerlukan lebih banyak bimbingan.

    Tapi kali ni, orang yang dah berumur pula yang buat kerja. Dah la tu, berketayap lagi. Masya-Allah.. Malunya saya sebagai seorang Muslim. Apakah ini tandanya bahawa masyarakat kita makin runtuh nilai akhlaknya, nilai moralnya?

    Pada mereka yang bersikap macam ni, seolah-olah setiap tindakan tidak perlu difikirkan terlalu panjang. Kalau rasa nak buat, buat aje. Apa-apa akibat selepas itu, barulah nak fikir kemudian.

    Dia tak tahu ke yang dia bukan kena jawab kat dunia je, tapi di akhirat esok, lagi teruk dia kena. Astaghfirullahalazim…

  • 7 Comments
  • Filed under: Umum
  • Salam. Terlalu lama saya tidak menulis di sini dan terlalu banyak juga yang saya nak luahkan. Tapi, yang paling menarik perhatian saya dalam minggu ini ialah budaya meng’kambinghitam’kan orang lain.

    Kalau kita baca akhbar-akhbar dan blog-blog, banyak betul isu sebegini timbul dalam masyarakat kita. Dan yang paling sedih tu, ia melibatkan manusia-manusia yang mendakwa mereka tu alim ulama.

    Pada pandangan saya, kerajaan kita sekarang ni dah cuba sedaya upaya nak puaskan hati semua pihak dan bawa semua untuk bersatu. Sebab itulah timbulnya Gagasan 1Malaysia yang setakat ini berkesan untuk menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat bahawa perpaduan itulah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur seperti yang dinikmati sekarang.

    Namun, ada saja pihak yang bekerja keras nak runtuhkan semua usaha ini. Sudahlah begitu, dia tuduh pula kerajaanlah punca dia dengan kawan-kawan dia berkrisis sesama sendiri.

    Apa semua ni? Sebagai pemimpin yang berlandaskan agama dan menjadikan agama sebagai bahan berpolitik, mereka ini sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan. Namun, mungkin disebabkan takut hilang sokongan rakyat, dia mula menuduh orang lain yang bukan-bukan. Ini ke budaya baru yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang? Kalau kita bermasalah, salahkan orang lain. Ada logik ke?

    Saya setuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Zaman dah berlalu, berilah peluang kepada pemimpin muda untuk menerajui tampuk pemerintahan. Dan kita akan dapat saksikan banyak perubahan akan berlaku. Inilah yang dilakukan oleh BN dan ia berhasil.

    Jadi, kenapa perlu bertelingkah dan menuding jari antara satu sama lain? Rakyat semakin bosan dengan drama politik yang diterbitkan oleh pakatan pembangkang ni. Bukannya memajukan negara, tapi membawa negara ke arah kekacauan dan perpecahan. Apa yang mereka mahu sebenarnya?

    Ingat, ini Malaysia kita. Hanya kita yang boleh tentukan masa depan Malaysia kita. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

  • 4 Comments
  • Filed under: Umum
  • SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

     

    Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam di negara ini terutamanya kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia.

    Bersamalah kita raikan perayaan ini dengan penuh keinsafan di samping keluarga yang tersayang. Kepada yang memandu, berhati-hati di jalan raya. Pandulah dengan selamat.

    Selamat bercuti!

  • 11 Comments
  • Filed under: Umum
  • KHAS UNTUK KAKITANGAN KERAJAAN

    Baru-baru ni Perdana Menteri kita umumkan bantuan khas kewangan untuk kakitangan kerajaan peringkat sokongan sebanyak RM500. Dan ia dibayar sebanyak 2 kali iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan juga pada bulan Disember nanti.

    Apakah yang ditunjukkan di sini?

    Walaupun dunia mengalami masalah ketidakstabilan ekonomi, negara kita masih bertuah. Bertuah kerana mempunyai kerajaan yang begitu prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat.

    Memang jumlahnya tidak semewah dulu, tetapi, ini adalah usaha kerajaan kita untuk membantu rakyat, walaupun mereka sendiri berada di tengah-tengah kegawatan ekonomi. Adalah lebih baik bersusah-susah dulu, bersenang-senang kemudian. Kita tidak tahu apakah yang bakal melanda negara kita selepas ini. Jadi kerajaan kita telah mengambil sikap berhati-hati sambil membantu rakyat.

    Inilah yang membuatkan bumi Malaysia kita ini sangat bertuah. Kita mempunyai kerajaan yang ada visi jauh ke depan, terima kasih juga kepada pemimpin-pemimpin terdahulu. Dan PM kita sekarang ini benar-benar berusaha untuk mengotakan kata-katanya walaupun diasak dan dikritik teruk oleh pihak-pihak tertentu.

    Satu sahaja yang saya dapat katakan di sini, jika rakyat ingin merasai kesenangan, mereka sepatutnya bantu kerajaan supaya mereka boleh bantu kita. Mengkritik, mencaci dan mengutuk tidak akan mendatangkan keuntungan kepada sesiapa pun.

    Tapi, itulah yang terjadi dalam negara kita. Kenapa golongan ini tidak mahu menerima hakikat yang sebenarnya mereka bertuah kerana berada di sini?

  • 11 Comments
  • Filed under: Umum
  • RAIKAN HARI KEMERDEKAAN KE-52

    31 Ogos 2009 - tarikh di mana negara kita akan meraikan sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52. Setelah 52 tahun, negara kita telah melalui banyak saat-saat yang menguji ketahanan dan kekuatan, dan setiap kali itu jugalah negara kita bangkit dan terus bangun berdiri sehingga menjadi satu nama yang gah di mata dunia.

    Sepanjang perjalanan tersebut, terlalu ramai tokoh-tokoh yang datang dan pergi. Ada wira yang didendang, ada juga yang tidak didendang. Namun, mereka masih setia dan teguh mempertahankan negara.

    Kita generasi baru sepatutnya mencontohi tokoh-tokoh ini. Mereka bukan sahaja ikhlas berjuang untuk negara tetapi sanggup berkorban apa saja untuk pastikan kemerdekaan yang dicapai dulu tak hilang begitu sahaja.

    Tapi sebaliknya, sekarang ni, kita berusaha untuk memecahbelahkan diri sendiri. Kita tidak dapat menghayati semangat juang nenek moyang kita. Kita tidak lagi memikirkan untuk kesejahteraan semua. Kita lebih mementingkan diri. Apakah contoh yang telah kita berikan kepada generasi akan datang?

    Atas sebab itulah, 1Malaysia patut dijadikan asas untuk membangunkan semula nilai-nilai yang telah diamalkan oleh generasi terdahulu. Ini bukan masanya untuk berburuk sangka, bertelagah dan mencaci sesama kita. Ini adalah masa untuk mengukuhkan semula ikatan yang kian longgar, yang mana jika dibiarkan, masa depan lebih 27 juta manusia yang berlindung dengan negara ini akan menjadi kelam.

    Fikirkan. Sambutan kemerdekaan yang jatuh ketika bulan penuh rahmat, Ramadhan, pastinya mempunyai hikmah dan maksud yang cukup dalam. Jangan alpa.

    Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

  • 8 Comments
  • Filed under: Umum
  • SELAMAT BERPUASA!

    Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam, tidak kira di mana anda berada.

    Semoga bulan yang mulia ini membawa berkat kepada kita semua, sebagaimana yang dijanjikanNya. Jangan lupa untuk menunaikan zakat dan bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya setiap perbuatan kita itu akan menerima balasan yang berlipatkaliganda.

    Selamat berpuasa semua!

  • 8 Comments
  • Filed under: Umum
  • Semalam, Virus H1N1 telah meragut mangsa keempat di negara ini.

    Virus ni semakin mengancam manusia di seluruh dunia. Pakar Kesihatan WHO mengatakan virus ini seolah-olah tak dapat dihentikan dan cara penyebaran yang mudah menyebabkan ia pantas mengembangkan kawasan liputannya. Dan, vaksinnya pula hanya akan didapati hujung tahun ini. Kerajaan  telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memastikan vaksin ini sampai ke negara ini bagi menyelamatkan mereka yang masih boleh diselamatkan.

    Namun, kesedaran di kalangan masyarakat kita masih berada di tahap membimbangkan. Kenapa saya cakap macam ni? Sebab, di sebalik peringatan-peringatan dalam iklan-iklan di media massa, virus ini terus merebak dengan begitu pantas di kalangan masyarakat kita.

    Langkah-langkah pencegahan tidak diambil, kalau diambil pun, ia tidak betul. Dan bagi yang baru sahaja pulang dari luar negara, walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit seperti H1N1, mereka patut ambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan sendiri kuarantin di rumah. Apatah lagi kalau mereka ada selsema, walaupun tidak serius, mereka tak sepatutnya lupa untuk melakukan langkah pencegahan awal. Mereka bukan sahaja akan selamatkan diri dan keluarga mereka, bahkan juga masyarakat sekeliling.

    Saya tahu, mungkin ramai yang sudah tahu langkah pencegahan ini. Tapi saya rasa bertanggungjawab juga nak beritahu anda, apa yang boleh kita buat untuk elak virus H1N1 terus merebak.

    Jika anda bakal mengunjungi negara yang dilanda H1N1, seboleh-bolehnya tangguhkanlah perjalanan anda. Kalau tak boleh tangguh,  sila ambil langkah berikut :

    1. Ketahui kawasan yang mengalami kes H1N1 yang paling tinggi.

    2. Elak melawat kawasan yang sesak.

    3. Elak bersentuhan dengan pesakit H1N1. Tapi kalau perlu juga, pakailah alat pernafasan yang sesuai.

    4. Jaga kebersihan diri. Basuh tangan dengan air dan sabun setiap masa terutama selepas batuk dan bersin.

    5. Guna tisu atau saputangan ketika batuk atau bersin dan buang tisu terus ke dalam tong sampah.

    6. Kalau ada simptom-simptom H1N1, terus dapatkan rawatan. Jangan bertangguh.

    Dan, kalau anda baru sahaja pulang dari negara yang dilanda H1N1, sila :

    1. Elak berdampingan dengan orang lain selama 7 hari.

    2. Segera dapatkan rawatan doktor sekiranya anda demam dan mengalami salah satu gejala berikut : batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit kepala atau sakit badan.

    3. Maklumkan juga kepada doktor yang merawat anda yang anda baru sahaja pulang dari negara yang dilanda H1N1.

    Sama-samalah kita ambil langkah pencegahan awal. Jangan sudah terhantuk baru terngadah.

  • 25 Comments
  • Filed under: Umum
  • AMAH OH AMAH

    Banyak betul kes dera amah terbongkar sekarang ni. Ekoran itu, kerajaan dah mempertimbangkan untuk membuat pindaan akta bagi membolehkan pembantu rumah diberi cuti sehari dalam seminggu. Ini, menurut kerajaan akan mengambil kira situasi menang-menang antara majikan dan golongan terbabit.

    Kenapa amah didera?

    Memang betul majikan dah bayar ribuan ringgit untuk dapatkan khidmat amah yang bekerja di rumah mereka 24 jam sehari, tapi itu bukannya lesen untuk buat sesuka hati pada amah tersebut. Mereka pun manusia. Ada perasaan, ada akal, boleh rasa sakit dan ada batas untuk perah tenaga mereka. Mereka juga perlu rehat. Mereka bukan robot.

    Memang tak semua majikan berlaku tak adil pada amah mereka. Ada majikan yang saya kenal, begitu baik dengan amahnya, sampaikan amahnya menangis-nangis bila kontrak mereka tamat. Ada juga yang dah jadi macam keluarga sendiri. Sampai ke luar negara pun dia bawa amah dia sekali.

    Tapi, segelintir masyarakat kita yang begitu sombong dan takbur ingat bila mereka dah dapat amah, amah tu jadi hamba abdi dia. Dia pukul, dera amah dia. Diperlakukan macam binatang. Apa masalahnya sampai jadi macam itu?

    Kalau amah tu tak pandai buat kerja, ajar dia perlahan-lahan. Jangan ingat dia masuk sehari, dia tahu semuanya. Kalau amah tu malas, tukar je amah lain. Kalau rasa amah tu menyusahkan, jangan pakai langsung. Buat semua sendiri, puas hati.

    Sekarang ni, hal amah ni je dah membuatkan kerajaan kita kena menjawab dengan kerajaan Indonesia. Mencetuskan kontroversi antara kedua-dua negara. Negara serumpun pulak tu. Banyak impak dia yang kita tak nampak.

    Oleh itu wahai majikan-majikan yang ada amah yang tolong selesaikan banyak kerja di rumah, jagalah amah anda elok-elok. Bukanlah suruh bentang karpet merah, tapi layanlah dia macam seorang manusia.

  • 19 Comments
  • Filed under: Isu semasa, Umum
  • Kes Ah Long ni dah banyak kali sangat keluar suratkhabar. Apatah lagi dengan terbongkarnya rahsia “lokap buatan sendiri” baru-baru ni. Mungkin ramai yang menyalahkan Ah Long, tapi pada saya, si peminjam tu juga bersalah. Dan sebenarnya, si peminjam itulah yang menyebabkan kegiatan Ah Long ni semakin berleluasa.

    Apakah nilai wang ringgit yang sama dengan harga nyawa kita? Nyawa keluarga kita? Nyawa rakan-rakan kita?

    Mengikut laporan akhbar, pinjamlah RM10,000 dengan Ah Long. Yang dapat cuma RM6,000, lagi RM4,000 dikatakan untuk bayaran guaman. Ada ke peguamnya? Ada ke tandatangan perjanjian sebenar? Kenapa tandatangan kertas kosong?

    Kemudian, hari-hari kena bayar pada mereka sekian jumlah, sampaila jumlah RM10,000 tu dapat dibayar sekaligus. Masuk akal ke? Kalau hari-hari habiskan duit bayar kt Ah Long tu, bila masa nak kumpul duit jadi RM10,000? Ini bukan pinjaman jamin lulus, ini pinjaman jamin hutang seumur hidup.

    Bank-bank di negara kita sekarang ni telahpun menyediakan banyak kemudahan pinjaman peribadi yang langsung tidak akan membebankan si peminjam. Adakah menunggu kelulusan selama (paling lama pun) dua minggu, berat, berbanding hidup dalam ketakutan sepanjang hayat? Adakah mengikut prosedur yang betul dan halal adalah susah berbanding melihat nyawa kita dan ahli keluarga kita turut terancam?

    Fikirkan.

  • 22 Comments
  • Filed under: Umum

  • Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya ingin bersama-sama kalian dalam dunia siber ini. Saya juga mengalu-alukan ulasan saudara-saudari mengenai topik yang saya catatkan dalam blog ini. Bagaimanapun saya memohon saudara-saudari agar dapat menulis secara berhemah supaya perbincangan kita menjadi lebih bermanfaat. Elakkan perkataan buruk, bersifat hasutan, atau fitnah. Jagalah akhlak kita sewaktu berbicara di blog ini. Terima kasih.

    Kategori

    Calendar

    March 2010
    M T W T F S S
    « Nov    
    1234567
    891011121314
    15161718192021
    22232425262728
    293031  

    Statistik


    Statistik Pelawat