MUSIM BARU…SEMUA SEDANG NAIK…!
May 11, 2011
Kenapa saya dok sebut pasai benda tu…Musim baru…Semua Sedang naik….Saya faham sangat situasi sekarang, rakyat sedang gelisah dengan kenaikan beberapa keperluan harian. Mula-mula Petrol Ron 97 naik 20 sen, jadi RM2.90 seliter. Gula pun sama, naik 20 sen dari RM2.10 ke RM2.30.
Saya bangkitkan benda ni bukan nak provok atau nak kenen sapa-sapa, Cuma saya harap kerajaan juga perlu dok timbang-timbang untuk naikkan gaji kakitangan awam, agar depa ni tak rasa terbeban sangat dengan kenaikan harga-harga barangan keperluan harian tu. Maklumlah, kalau nak dikira gaji kakitangan awam di negara kita ni masih berada pada tahap yang agak rendah.
Tapi apa pun, saya percaya Perdana Menteri kita mesti sudah ada perancangan tersendiri kepada kakitangan awam. CEUPAC pulak dengaq-dengaq sudah ada perancangan untuk buat pertemuan dan perbincangan dengan pihak PM dan kerajaan. Kita harap masa PM bentang bajet nanti ada berita gembira buat semua kakitangan awam.
Walaupun saya dah bersara dari Perkhidmatan Awam, tapi naluri saya tetap masih sayangkan perkhidmatan ini, maklumlah saya dok di situ hampir 37 tahun. Saya tetap mendoakan semua kawan-kawan yang masih berada dalam Perkhidmatan Awam agar dapat menikmati pendapatan yang lebih baik dan seterusnya mampu memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat dan negara.
SAYA TELAH BERSARA
May 3, 2011
Assalamualaikum, Selamat Sejahtera, Salam 1Malaysia.
Depa selalu kata…, “ kalau memanjat, sudah sampai ke puncak, kalau menurun, sudah sampai ke lembah, kalau mudik sudah sampai ke hulu, kalau hanyut sudah sampai ke kuala. Sama jugalah dengan perkhidmatan saya sebagai kakitangan awam.
Pada 29 April 2011, saya sudah ‘clock out’, punch card terakhir saya sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan Malaysia. Tempoh perkhidmatan saya tamat pada 1Mei 2011, setelah 37 tahun saya berada di Jabatan Penerangan. Kalau ditanya apa perasaan saya, memangla sedih dan terharu. Walau bagaimanapun saya sangat yakin, pengganti saya selepas ini akan dapat mengurus jabatan dengan lebih cemerlang lagi.
Pesanan saya buat semua rakan-rakan dalam Jabatan Penerangan Malaysia, berilah kerjasama dan sokongan yang sebaiknya kepada pengganti saya. Teruskanlah bekerja sebagai satu pasukan dan kalin bertanggungjawab untuk mengembalikan semula kehebatan jabatan, agar ia boleh menjadi inspirasi dan sandaran kepada jabatan-jabatan lain dan kerajaan.
Dikesempatan ini juga saya dan keluarga memohon jutaan ampun dan maaf, sekiranya sepanjang saya berkhidmat di Jabatan Penerangan ini, ada kekhilafan dan kesilapan samada dari perbuatan atau tuturkata yang sengaja atau tidak. Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang keji itu adalah dari kelemahan saya sebagai hambanya.
Selamat meneruskan amanah dan tanggungjawab kalian. Saya akan sentiasa mendoakan agar kejayaan akan sentiasa mengiringi kita semua dalam setiap apa yang kita kerjakan, Insyaallah.
SAYA SEDANG BERCUTI
April 7, 2011
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia, kepada semua rakan-rakan blog chainmorad, facebook dan seluruh kakitangan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya kepada warga kerja Jabatan Penerangan Malaysia.
Setelah lebih 37 tahun saya menabur khidmat bakti sebagai kakitangan awam di Jabatan Penerangan Malaysia, akhirnya khidmat saya itu sampai juga dipenghujungnya dan saya, insya-Allah akan bersara dari Perkhidmatan Awam mulai 1 Mei 2011 ini. Buat masa ini saya sedang bercuti mulai 7 April 2011 hingga 24 April 2011.
Temph 37 tahun saya sebagai kakitangan awam, banyak pengalaman, kenangan pahit dan manis yang saya lalui. Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan yang memberikan saya peluang berkhidmat bersama mereka dan terima kasih juga kepada semua rakan-rakan dalam Jabatan Penerangan Malaysia yang banyak menyokong dan memberikan kerjasama kepada saya sepanjang saya berkhidmat bersama kalian.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan Kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.
PENGAMBILAN PEGAWAI BARU JABATAN PENERANGAN LEBIH KETAT
March 21, 2011
Jabatan Penerangan Malaysia baru selesai melaksanakan Program Pusat Penilaian Kompetensi kepada calon-calon pegawai baru di Jabatan Penerangan Malaysia. Program ini telah dilaksanakan selama tiga minggu berturut-turut melibat beberapa lokasi yang telah ditetapkan. Program selama dua hari ini menjurus kepada menilai calon-calon dari aspek kemahiran dalam Pengurusan Mesyuarat, Pengucapan Awam, Group Discussion dan Public Speaking.
Lokasi pertama program ini diadakan di Politeknik Shah Alam pada 5 – 6 Mac 2011, Program kedua pada 12 – 13 Mac 2011 di Politeknik Seberang Perai dan Politeknik Dungun, Terengganu sementara Program Ketiga pada 19 - 20 Mac 2011 telah diadakan di Politeknik Port Dickson, Politeknik Kota Kinabalu, Sabah dan Politeknik Kuching, Sarawak.
Saya sangat berharap, melalui program ini, Jabatan Penerangan akan dapat menyediakan para pegawai yang lebih baik dan berkualiti untuk menggalas cabaran pada masa hadapan dan seterusnya berupaya meletakkan Jabatan Penerangan sebagai jabatan yang relevan dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat dan masyarakat. Selamat Maju Jaya….
GONG XI FA CHAI
January 31, 2011
SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA KEPADA SEMUA KAKITANGAN BERBANGSA CINA KHUSUSNYA DI JABATAN PENERANGAN MALAYSIA DAN KEMENTERIAN PENERANGAN KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN SERTA KEPADA SELURUH RAKYAT Malaysia BERBANGSA CINA AMNYA.
GONG XI FA CHAI…SEMOGA KITA SEMUA TERUS MAMPU HIDUP DALAM KEHARMONIAN DAN SEMANGAT PERPADUAN YANG JITU. MARILAH KITA TERUS MENDUKUNG GAGASAN 1MALAYSIA – RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.


