Pelancongan

Kebebasan media era Malaysia Baharu

Story Highlights

  • Knowledge is power
  • The Future Of Possible
  • Hibs and Ross County fans on final
  • Tip of the day: That man again
  • Hibs and Ross County fans on final
  • Spieth in danger of missing cut

Ramai bertanya kandungan artikel saya yang dipilih penerima anugerah utama kategori Penulisan Kolum/Rencana Pengarang, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI Petronas 2018, anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI), pada 26 April lalu.

Empat artikel saya hantar bertajuk: Warkah untuk Yang Berhormat, Betulkah UMNO parti keramat orang Melayu, Rakyat berhak adili Dr M jika Tommy gagal, BN gagal kesan gelombang tsunami rakyat. Semua artikel ditulis selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang berlangsung pada 9 Mei 2018.

Sebenarnya menulis sebagai wartawan akhbar arus perdana ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) jauh bezanya dibandingkan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dahulu saya kerap juga menulis artikel mengenai ehwal semasa, tetapi hanya sesekali membincangkan isu politik. Itupun ketika PRU, pilihan raya kecil (PRK) atau perhimpunan agung parti, terutama UMNO dan PAS, selain PKR.

Tetapi ketika itu, menulis dalam keadaan tidak selesa. Tambahan pula, polisi akhbar perlu mengikut acuan yang ditetapkan oleh ‘kuasa’ yang memegang tampuk dalam kerajaan ketika itu. Pernah artikel saya mengenai rumusan keputusan PRK Permatang Pauh pada 2008 yang dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dirombak kerana tidak ‘senada’ dengan kehendak ‘parti dan pemimpin yang berkuasa’. Ketika sedang memandu ke Kuala Lumpur selepas PRK itu selesai, seorang editor kanan menghubungi saya sambil berseloroh berkata: “Boss boleh kena kalau aku publish (siar) artikel hang”. Saya kemudian berhenti di tepi jalan dan menghubungi editor berkenaan untuk mempertahankan tulisan saya.

Saya nyatakan maklumat yang diperoleh adalah daripada lapangan dan komentar saya adalah hasil analisis selama dua minggu berkampung di Permatang Pauh. Seperti dijangka, apabila membaca akhbar esoknya, beberapa bahagian dalam artikel saya ‘dipadam’ dan sehari selepas itu saya tidak datang bekerja kerana kecewa.

Kekangan oleh kuasa luar suatu masa dahulu antara punca media arus perdana hilang kredibiliti, keyakinan dan kepercayaan pembaca. Akibatnya, jualan akhbar menjunam jatuh dan jumlah penonton siaran televisyen merudum.

Buat pertimbangan sendiri

Selepas 9 Mei 2018, ia telah berubah. Berlaku reformasi dalam media. Editor tidak lagi dibelenggu dengan kerisauan menerima panggilan telefon daripada mereka yang memegang tampuk kuasa. Tiada lagi arahan atau ‘wahyu’ daripada pemegang kuasa di Putrajaya.

Editor boleh membuat pertimbangan sendiri dalam menyiarkan artikel mahupun membuat laporan yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan. BH yang kini diterajui bekas pengarang kanan, Khaidir A Majid sebagai Pengarang Kumpulan juga telah berubah.

BH mengamalkan konsep 3P, yakni Prinsip, Polisi dan Prosedur. Prinsip kita adalah menjadi akhbar yang mampu membentuk masyarakat progresif dan bertanggungjawab. Polisi kita menyiarkan laporan seimbang, adil dan tepat.

Bagi mencapai hasrat itu, prosedur yang perlu diamalkan antara lain laporan mesti memuatkan pelbagai jenis sumber atau sudut pandangan, ketepatan berdasarkan daripada sumber sahih.

Setiap dakwaan terhadap seseorang atau mana-mana pihak perlu dilaporkan dalam atau diberikan hak untuk menjawab. BH juga memastikan wartawannya perlu telus dengan pembaca dan tidak harus berkompromi oleh kepentingan komersial atau politik.

Kesimpulannya, untuk menjadi media yang berwibawa dan mampu membentuk masyarakat Malaysia Baharu sebenar, syarikat media perlu menyiarkan laporan yang benar dan tidak mengikut telunjuk pemegang kuasa politik semata-mata.

Namun, ia ada hadnya dan tidak menggunakan kebebasan media secara membuta tuli sehingga mencetus sentimen kaum dan agama serta menggugat keamanan dan kestabilan negara. Bagi menjawab mereka yang bertanya mengenai artikel saya yang dipilih menerima anugerah MPI, mereka boleh google tajuk laporan yang dinyatakan di atas dengan melayari laman web BH di www.bharian.com.my.

Secara ringkas, boleh saya nyatakan artikel yang ditulis selepas PRU-14 itu dihasilkan secara bebas dan terbuka tanpa bimbang menerima panggilan telefon daripada pemegang tampuk kekuasaan.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close