Teknologi

Bomba tingkatkan penugasan

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedia menghadapi apa saja kemungkinan sepanjang Ops Selamat yang berlangsung sepanjang cuti Aidilfitri.

Pengarah JBPM Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah, berkata seramai 558 pegawai dan anggota bomba akan bertugas sepanjang Ops Selamat dari 29 Mei sehingga 12 Jun.

“Di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), setiap hari seramai 20 anggota akan ditugaskan masing-masing di Tol Ajil dan Tol Perasing. Malah, setiap balai bomba juga dikehendaki untuk membuat rondaan masing-masing dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2019 dan Majlis Berbuka Puasa Peringkat JBPM Terengganu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Mohamad Shoki berkata, berdasarkan statistik kemalangan dan kebakaran sepanjang musim perayaan tahun lalu, pihaknya menggandakan penugasan dan kesediaan kakitangan.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati apabila memandu.

“Untuk mengelak kemalangan jalan raya, unsur 2M perlu diberi perhatian iaitu pemandu (Men) dan kenderaan (Machine). Pastikan memandu dalam keadaan sihat dan kenderaan dalam keadaan selamat.

“Sempena cuti perayaan yang jatuh sama dengan cuti sekolah, JBPM akan menggandakan pemantauan dan rondaan di kawasan pusat rekreasi air seperti Air Terjun Sekayu di Hulu Terengganu, Pantai Teluk Lipat, Dungun dan pantai Batu Buruk,” katanya.

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close