Antarabangsa

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI DAN KERJASAMA REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI DAN KERJASAMA REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE, DR. DIONÍSIO DA COSTA BABO SOARES KE MALAYSIA 1-2 JULAI 2019

Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Republik Demokratik Timor-Leste, Dr. Dionísio da Costa Babo Soares akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 2 Julai 2019. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri ke-7 Timor-Leste pada Jun 2018.

Lawatan Rasmi ini dijangka akan menjadi platform bagi mengukuhkan lagi hubungan baik kedua-dua Negara dan membuka peluang untuk berbincang pelbagai isu kepentingan bersama disamping meningkatkan lagi kerjasama strategik dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

Selain mengukuhkan hubungan dua hala, Lawatan Rasmi ini juga merupakan sebahagian daripada lawatan beliau ke Negara-Negara Anggota ASEAN dalam meraih sokongan bagi permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN. Malaysia menyokong penuh aspirasi Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota ASEAN.

Malaysia merupakan antara rakan usaha sama utama dalam usaha-usaha pembangunan negara Timor-Leste. Malaysia telah menyumbang ke arah Pembangunan bina upaya dan bantuan teknikal, antara lain melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia – Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) serta sektor pertahanan dan keselamatan.

Dr. Babo Soares akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah diikuti dengan satu Majlis Jamuan Tengahari yang dihoskan oleh YB Menteri.

Dari Januari hingga April 2019, jumlah dagangan di antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 199.8% iaitu USD16.0 juta berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2018. Pada tahun 2018, Malaysia merupakan rakan dagang ke-6 terbesar, destinasi eksport ke-9 terbesar dan negara import ke-9 terbesar di peringkat antarabangsa bagi Timor-Leste.

PUTRAJAYA

1 Julai 2019

Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close