Ekonomi

Malaysia sasaran utama pasaran halal Taiwan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Sebagai pasaran Islam paling maju di Asia Tenggara, dengan lebih 20 juta umat Islam, Malaysia merupakan pasaran halal penting yang menjadi sasaran Taiwan.

Hubungan mesra antara Malaysia dan Taiwan memberikan ruang yang cukup untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang halal.

Taiwan Expo 2019 yang baru-baru ini berlangsung di Pulau Pinang, mempamerkan produk halal terbaik dari negara itu di Pavilion Taiwan Halal & Bubble Teh.

Memandangkan Kerajaan Pulau Pinang aktif membangunkan industri halal, terdapat banyak peluang perniagaan untuk diteroka oleh pengeluar produk halal Taiwan dan perniagaan Malaysia.

Produk halal Taiwan dipandang tinggi kerana pengeluarannya yang berkualiti tinggi, selain pembungkusan yang menarik. Produk yang dipamerkan pada ekspo ini meliputi barangan makanan dan minuman halal, kecantikan serta hasil pertanian.

Pempamer utama di pavilion halal itu termasuk lima pengeluar produk halal Taiwan paling ikonik dan pembuat teh gelembung. Mereka terdiri daripada Shih Chen Foods, Yilan Anyong LOHAS, FuFann Enterprise, Kuojer Enterprise dan Yung Soon Lih Food Machine.

Syarikat tersebut mempamerkan teh susu segera, pati ikan premium, pes kelapa, bahan mentah teh gelembung dan periuk teh gelembung pelbagai fungsi.

Setakat ini, Taiwan mempunyai lebih 1,000 pengilang dan restoran yang memiliki sijil halal berbanding masing-masing sebanyak 500 di Jepun dan Korea Selatan.

— BERNAMA

Tags
Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close