Ekonomi

MIA cadang inisiatif IR 4.0 bagi sektor perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Institut Akauntan Malaysia (MIA) mencadangkan sektor perkhidmatan negara mempunyai inisiatif nasional mengenai Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 (IR4.0) untuk memacu transformasi digital dalam segmen itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Dr Nurmazilah Mahzan berkata cadangan telah dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada beberapa minggu lepas untuk membolehkan inisiatif tersebut dirangka untuk menyokong pembangunan negara.

“Tahun lepas, MITI memperkenalkan inisiatif IR4.0, Industry4WRD untuk sektor pembuatan dan telah melaksanakan banyak program mengenainya.

“Oleh itu, untuk masa depan, kami mencadangkan MITI meneliti agenda IR4.0 untuk sektor perkhidmatan. Kami amat gembira untuk menyokong agenda tersebut dan ingin menjadi sebahagian daripada perbincangan itu,” katanya kepada pemberita pada MIA AccTech Conference 2019 di sini hari ini.

Dilancarkan pada Oktober tahun lepas, Industry4WRD dirangka untuk memudahkan sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan pembuatan, menerima pakai IR4.0 dengan sistematik dan menyeluruh.

“Kami amat yakin dengan inisiatif kerajaan dalam pelbagai aspek dari segi memacu agenda IR4.0.

“Walaupun kerajaan melaksanakan banyak inisiatif dengan melibatkan pemilik dan komuniti perniagaan dalam agenda digital, kami memastikan akauntan, yang merupakan penasihat perniagaan, bergerak sejajar dengannya.

“Oleh itu, apabila matlamat dicapai, kita semua akan berada dalam satu ekosistem dan didayakan secara digital,” katanya.

Nurmazilah berkata antara teknologi yang diperlukan oleh profesion akauntan ialah kecerdasan buatan, analisis data, blockchain, realiti maya dan percetakan 3D.

Beliau berkata untuk menerima pakai perubahan, sektor tersebut juga perlu kemahiran baharu yang sesuai dengan ekonomi digital baharu.

“Kemahiran pada masa depan menetapkan MIA mengenal pasti untuk melakukan lebih daripada pengiraan, yang merupakan bidang profesion, untuk merangkumi penyelesaian masalah yang rumit, pemikiran kritis, kreativiti, pengurusan manusia, komunikasi dan kerjasama, kecerdasan emosi dan fleksibiliti kognitif.

“Kami menumpukan kepada semua ini dalam program pembangunan kami dan meneruskan pendidikan profesional dan latihan,” katanya.

Beliau berkata MIA turut mencadangkan rangka kerja kemahiran sains data yang berguna untuk akauntan yang sejajar dengan rangka kerja kecekapannya, yang kini di peringkat draf.

“Bidang tertentu mengenai kepakaran data dan kecekapan mungkin meliputi kemahiran seperti pembersihan dan penyimpanan, penciptaan, penerokaan data, transformasi data, tadbir urus, strategi dan membuat keputusan algoritma,” kata Nurmazilah.

Bagi Belanjawan 2020, katanya MIA turut mengemukakan cadangan mengenai insentif cukai, antara lain untuk memacu teknologi dalam sektor perakaunan.

Institut itu turut menggunakan platform pengumpulan dana masyarakat untuk membantu anggotanya mendapat pembiayaan.

Sebanyak 36,000 akauntan kini berdaftar dengan MIA.

— BERNAMA

Tags
Show More

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
Close