Berita Terkini

Program PSP kepada golongan sasar inisiatif elak pembaziran – Persatuan Ibu Bapa dan Guru

KUALA LUMPUR, 17 Jan — Persatuan-persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) menyifatkan Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama 2020 bermula 20 Jan ini bakal memberi impak positif dengan bantuan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan program PSP yang diperkenalkan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan diteruskan namun disasarkan kepada murid daripada keluarga kurang mampu sahaja. Menurut beliau, adalah tidak adil untuk turut menyediakan bantuan itu kepada anak daripada golongan berada, dan penerima manfaat program itu akan ditambah dari masa ke masa.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata pihaknya menyokong cadangan Perdana Menteri itu yang akan memberikan manfaat dan mengurangkan masalah pembaziran dalam menguruskan dana pendidikan.

“Tidak salah sekiranya sebarang program yang hendak dilaksanakan atau diteruskan dikaji semula demi keberkesanannya, program sarapan pagi, bantuan persekolahan dan pemberian baucar buku misalnya tidak semestinya perlu diagihkan kepada semua pelajar.

“Pemberian itu sebenarnya bergantung kepada taraf kehidupan seseorang. Jadi memang sepatutnya segala pemberian atau sumbangan dihadkan kepada mereka yang memerlukan, meskipun dalam keadaan mewah atau sebaliknya, kita perlu berpada-pada dan tidak membazir,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melakukan pemantauan secara dekat (pegawai ke lapangan) dalam melaksanakan program itu bagi mengelakkan ketirisan kuasa berlaku terutama dalam pemberian tender bagi mengelak anak-anak B40 menjadi mangsa.

“KPM juga perlu memantau dengan berterusan supaya ia mengikut perancangan ditetapkan dan sekolah itu patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak pembaziran,” katanya.

Mohd Azizee berkata pihaknya turut mendukung usaha KPM dalam menzahirkan PSP kerana ia satu usaha membantu pelajar mendapat pendidikan yang baik melalui penyediaan makanan terbaik dan berkualiti.

“iGuru melihat program ini satu inisiatif yang baik untuk memastikan semua murid dari kelompok B40 mendapat pemakanan yang sihat dan seimbang bagi pertumbuhan fizikal dan mental. Pemakanan yang sihat dan seimbang menjamin proses pembelajaran murid sekaligus membantu aspek kecemerlangan pendidikan mereka,” katanya.

KPM sebelum ini menyatakan PSP akan mula dilaksanakan di 100 sekolah rendah di seluruh negara dan melibatkan seramai 37,000 murid dan 1,600 guru yang bertugas setiap hari dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.

Menurut KPM, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.

Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim mengakui langkah kerajaan mengehadkan program itu kepada golongan sasar merupakan tindakan yang betul bagaimanapun kerajaan perlu mengambil kira mekanisme kawalan perbelanjaan dan kemungkinan pembaziran makanan.

– BERNAMA.

Show More
Back to top button
Close