Berita Terkini

KPDNHEP jamin bekalan ayam di pasaran mencukupi

PUTRAJAYA: Pengguna di negara ini tidak perlu bimbang kerana bekalan ayam di pasaran mencukupi ketika ini walaupun sebuah kilang memproses ayam di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah, Melaka ditutup akibat penularan COVID-19 dalam kalangan pekerjanya.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, berkata kementerian mengambil maklum berkenaan perkara itu dan sudah mengambil langkah perlu bagi penilaian susulan penutupan sementara operasi syarikat berkenaan yang juga antara kilang pemprosesan dan membekalkan ayam proses serta produk berasaskan ayam ke seluruh negara.
Berdasarkan maklumat diperoleh, ayam yang diproses di kilang itu diedarkan ke pasar raya besar, pasar raya, restoran dan premis runcit terpilih sahaja.
“Syarikat ini juga tidak mengedarkan bekalan ayam proses dan produk berasaskan ayam ke pasar basah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azman berkata, bagi meminimumkan kesan penutupan operasi ini, pihak syarikat akan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada kilang bawah rangkaian syarikat sama bagi menjamin kesinambungan produk dalam pasaran.
Setakat ini KPDNHEP tidak menerima sebarang aduan berkaitan bekalan ayam di pasaran dari pengguna.
“Pegawai penguat kuasa akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan keberadaan dan kestabilan bekalan ayam di pasaran.
“Kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan berkenaan isu ini dengan menaikkan harga tidak munasabah,” katanya.
Semalam media melaporkan sebuah kilang memproses ayam terbesar di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah diarah menghentikan operasi bermula semalam hingga 4 Jun ini.
Tindakan itu diambil susulan seramai 175 pekerja syarikat itu, kebanyakannya warga asing, disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian calitan – Berita Harian, 24 Mei 2021
Show More
Back to top button
Close