Berita Terkini

Pengusaha kilang perlu tanggung kos vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang mendapatkan bantuan daripada pengusaha kilang di seluruh negara untuk menanggung kos pembelian vaksin COVID-19 bagi pelaksanaan program imunisasi terutama dalam kalangan pekerja asing mereka.
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Wan Mohd Husni Abdullah, berkata pihaknya beranggapan langkah itu sebagai situasi menang-menang antara kerajaan dan pengusaha sektor perindustrian.
Katanya, ia susulan keputusan kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh, sebaliknya mengetatkan lagi sektor ekonomi dan sosial.
“Hasil kajian MBM mendapati kos pembelian vaksin juga masih dalam kategori munasabah dan boleh disediakan pihak majikan. Sebagai contoh, kos bagi vaksin Sinovac dari China dan AstraZeneca (Britain) berharga sekitar AS$5 (RM20.70) bagi setiap dos.
“Jika dilaksanakan, MBM percaya kaedah ini mampu membantu kerajaan menjimatkan kewangan negara, selain alternatif kepada tidak perlunya pelaksanaan PKP menyeluruh.
“Sektor ekonomi masih boleh terus berjalan tanpa menjejaskan perniagaan kilang, malah peniaga kecil juga masih boleh beroperasi.
“Jika cadangan ini mendapat kelulusan kerajaan, pengusaha kilang boleh membeli vaksin seterusnya pekerja mereka divaksin segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jumaat lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilaporkan bersetuju memperketat PKP yang sedang berkuat kuasa.
Pejabat Perdana Menteri dipetik berkata, keputusan itu dibuat pada Sidang Khas MKN pada hari sama yang turut bersetuju dengan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Selain itu, Wan Mohd Husni berkata, semua pengusaha industri diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan.
Katanya, mana-mana industri dan syarikat yang masih berdegil dan didapati melanggar SOP serta menyebabkan kluster baharu wajar menanggung kos ujian calitan dan perubatan yang berpunca daripada mereka.
“Dengan cara ini mereka pasti lebih berhati-hati dan mengambil berat mengenai SOP. Seperti diketahui, sektor industri perkilangan adalah penyumbang terbesar hingga 50 peratus berlakunya kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja.
“Jadi, wajar usaha vaksinasi dipercepatkan bagi pekerja di kilang. MBM berharap usaha ini dapat memberi impak positif dalam penurunan indeks penularan COVID-19 ketika ini,” katanya – Berita Harian, 24 Mei 2021

Show More
Back to top button
Close