Posted on: 13/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan ikan yang ditangkap di kawasan perairan Sungai Geting, Tumpat di Kelantan selamat untuk dimakan.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata ini kerana hanya kerang  sahaja yang dikesan telah tercemar dengan toksin dan boleh memudaratkan kesihatan.

Beliau berkata cara pemakanan kerang adalah berbeza dengan cara pemakanan ikan dan pencemaran pembuangan sisa toksin di darat menyebabkan kerang tercemar.

“Setakat ini kita dapati hasil ikan dari sana (perairan Sungai Geting) masih selamat untuk dimakan,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan Bantuan Kotak Ikan Berinsulasi dan Surat Tawaran Projek Khas Perumahan Nelayan (Bina Baru dan Baik Pulih Rumah) di Kampung Menteri, Kuala Sepetang dekat sini hari ini.

Syed Abu Hussin Hafiz mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan Nazri Ishak semalam yang dilaporkan berkata orang ramai dilarang melakukan aktiviti memungut, menjual dan makan spesies kerang-kerangan di kawasan Perairan Sungai Geting kerana dicemari toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu ‘alexandrium minutum’.

Nazri berkata larangan itu berkuat kuasa serta-merta berikutan hasil keputusan analisis daripada Makmal Biosekuriti Perikanan yang dijalankan menjumpai bahan toksin itu.

Mengenai bekalan ikan menjelang musim monsun, Syed Abu Hussin Hafiz berkata ia tidak akan terjejas walaupun kekurangan bekalan ikan yang didaratkan dijangka berlaku ekoran nelayan akan jarang turun ke laut pada musim terbabit.

Beliau berkata ini kerana LKIM mempunyai stok penimbal ikan sejuk beku yang disimpan menerusi syarikat pembekal.

Menurut Syed Abu Hussin Hafiz selain ikan laut yang didaratkan, bekalan ikan darat dan kolam sebanyak 20 peratus serta ikan import dapat menampung bekalan jika berlaku kekurangan.

Katanya kebanyakan bot nelayan laut dalam kelas C juga sudah memulakan operasi selepas kelulusan untuk menggunakan nelayan asing.

Sumber: BERNAMA