Posted on: 15/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia berjaya menjana lebih RM7.2 bilion potensi perniagaan dengan beberapa syarikat yang berpangkalan di luar negara, dalam tempoh dua minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah keseluruhan bagi potensi perdagangan dan pelaburan itu diperoleh melalui 14 Memorandum Persefahaman (MoU), tiga Surat Niat (LoI) dan dua Memorandum Kerjasama (MoC), yang ditandatangani 14 syarikat Malaysia dengan rakan strategik dari luar negara.

Perdana Menteri memaklumkan, MoU itu meliputi teknologi ‘blockchain’ dan ‘Internet of Things’ (IoT), minyak dan gas, robotik dan automasi, penternakan akuatik dan bioteknologi, sektor berintensifkan teknologi, kenderaan udara tanpa pemandu, teknologi termal dan ultrasound, serta bidang pembangunan dan penyelidikan teknologi pengekstrakan herba.

Beliau berkata, LoI dan MoC pula membabitkan fabrikasi 1,000 unit modular rumah pintar hijau, pengedaran eksklusif kapal tanpa pemandu, sistem pertanian menggunakan kecerdasan buatan (AI), dan ramalan penyelenggaraan bagi penyelesaian projek.

“Ini adalah pencapaian amat positif sepanjang tempoh dua minggu pertama penyertaan Malaysia di ekspo mega itu, ketika negara berada dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.

“Momentum ini dijangka berterusan untuk 25 minggu akan datang, dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terbabit sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, bertemakan ‘Energizing Sustainability’, Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai turut mencatatkan lebih 50,000 pengunjung dari 1 Oktober lalu hingga semalam.

Katanya, kerajaan yakin akan melepasi jumlah sasaran antara RM8 bilion dan RM10 bilion, terutama potensi perniagaan dan perdagangan dalam ekspo selama enam bulan itu.

“Tahniah kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selaku kementerian yang menerajui penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai, dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana,” katanya.

Malaysia adalah antara lebih 190 negara dan organisasi yang menyertai Ekspo 2020 Dubai, yang berlangsung dari 1 Oktober lalu hingga 31 Mac depan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan tema ‘Connecting Minds, Creating the Future’.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini, berkata Malaysia yakin penyertaan negara dalam ekspo berkenaan menjadi pemangkin untuk merangsang semula ekonomi dunia yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sumber : BERITA HARIAN