Posted on: 16/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Operasi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok (16 Oktober).

Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) itu diumum  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan semalam selepas diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19.

Beliau berkata bermula esok, kenderaan e-hailing juga dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri turut mengumumkan pengurangan tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuat kuasa Isnin ini (18 Oktober) melibatkan tempoh kuarantin tujuh hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap.

“Tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin,” katanya.

Ismail Sabri berkata tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak rapat juga dikurangkan melibatkan tempoh kuarantin tujuh hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin dan 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap divaksin.

Sementara itu, pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan 80 peratus kapasiti bagi Fasa Tiga PPN dan 100 peratus kapasiti bagi Fasa Empat PPN berkuat kuasa Ahad ini (17 Oktober).

Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) turut dibenarkan di negeri-negeri Fasa Tiga PPN secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuat kuasa 18 Oktober dengan syarat melaksanakan  ujian saringan COVID-19 (pre-event test) melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negara bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 27 September lepas diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober lepas.

“Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuat kuasa 18 Oktober,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memanfaatkan semua kelonggaran yang diberikan itu dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Sumber: BERNAMA