Posted on: 25/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Inisiatif Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG -i) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memanfaatkan 2,877 ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pencapaian tersebut telah melebihi sasaran Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari kementerian iaitu seramai 2,000 peladang. 

Beliau berkata inisiatif tersebut merupakan satu program yang akan berterusan biarpun melepasi AKM 100 hari sekali gus menjangkakan lebih 900,000 peladang di seluruh negara akan memiliki kad tersebut menjelang 2025.

“Ia akan menjadi macam debit kad, maknanya kita membawa peladang ke arah pendigitalan dan masyarakat tanpa tunai menggunakan transaksi tanpa tunai. Semua peladang akan memiliki kad peladang ini jadi proses untuk memberi kad peladang akan diteruskan walaupun lebih 100 hari,” katanya pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. 

Selain itu, Kad PELADANG-i itu juga memiliki manfaat perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM5,000 bagi membantu ahli berusia 18 hingga 70 tahun yang berdepan musibah. 

“Manfaat yang dibawa bersama di dalam kad PELADANG-i ini ialah skim insurans yang diberi secara percuma, dibiayai oleh peruntukan kerajaan melalui Bajet 2022, manfaat perlindungan insurans sehingga RM5,000, sekiranya kematian disebabkan kemalangan, peladang boleh mendapat RM5,000,” katanya. 

Sementara itu, Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menyatukan tanah sawah secara pertanian kontrak atau sewaan, sekali gus meningkatkan produktiviti sawah melalui satu pengurusan sumber secara cekap telah memanfaat seramai 3,811 orang pesawah.  Ronald berkata ketika ini, sebanyak 21 syarikat peneraju telah menandatangani memorandum Persefahaman (MoU) bagi sesi 1/2021 dan 2/2022 SMART SBB. 

Syarikat peneraju itu berfungsi sebagai pengurus projek dan penyedia perkhidmatan seperti penggunaan dron, penyedia jentanam (transplanter) dan pembajak serta penyeliaan penggunaan baja dan racun menerusi pertanian kontrak dengan pesawah terlibat, selain bertindak selaku pembeli dan pengilang bagi padi yang dihasilkan.

Selain itu, program meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar dalam pemberian bantuan, insentif dan pembiayaan turut memanfaatkan seramai 74,287 penerima iaitu melebihi sasaran seramai 50,000 orang melibatkan peruntukan lebih RM180 juta. 

Sumber: BERNAMA