Posted on: 25/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kawasan tarikan pelancong di sekitar Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, boleh diperluaskan dengan memasukkan kampung tradisi dan kampung Orang Asli di bahagian barat kawasan itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.

Menjelaskan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata kedua-dua kampung berkenaan dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan baharu, sekali gus mengimbangi pembangunan yang selama ini tertumpu di kawasan timur, Desaru  yang terkenal dengan kawasan pantai.

“Kampung tradisi iaitu Tanjung Buai dan Kampung Orang Asli Sungai Layau 2 juga mempunyai khazanah istimewa dengan ekosistem semula jadi Sungai Johor yang indah. Ia amat sesuai dibangunkan sebagai ekopelancongan, seterusnya menjadi  produk pelancongan yang lebih lengkap dan menyeluruh,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di sini, hari ini.

Sharifah (UMNO-Penawar) berkata di Kampung Orang Asli Sungai Layau 2 contohnya mempunyai Muzium Orang Asli yang boleh  menarik minat pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk mengetahui  lebih lanjut mengenai budaya hidup masyarakat tersebut.

“Apatah lagi ia terletak berhadapan Sungai Johor yang indah, dengan kerajaan negeri diharap dapat membina lebih banyak prasarana termasuk rumah rakit bagi memberi peluang pengunjung menghayati ekopelancongan di kawasan itu.

“Gerai perniagaan juga perlu dibina bagi membolehkan penduduk tempatan memasarkan hasil tempatan termasuk makanan dan cenderamata sekali gus boleh dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri,” katanya.

Sharifah Azizah berkata dengan perluasan kawasan pelancongan itu, ia dijangka memanfaatkan serta memberi peluang kepada penduduk setempat  meraih pendapatan sampingan.

Sumber: BERNAMA