Posted on: 25/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Permuafakatan antara penduduk  Kampung Talang Hulu dalam menguruskan pandemik COVID-19 telah menobatkan kampung itu sebagai pemenang pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 Kategori Luar Bandar (Kampung Tradisional) bagi negeri Perak baru-baru ini.

Kemenangan itu antara lain melayakkan kampung itu mendapat hadiah RM50,000 dalam bentuk projek bagi melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.

Hadiah disampaikan  Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Pegawai Daerah Kuala Kangsar Tuan Zulhisham Ahmad Shukori dalam Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana di Putrajaya pada 8 November lepas.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Sabri And Krim, 58, berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa program bagi menguruskan pendemik COVID-19 setelah dicalonkan bagi menyertai pertandingan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Antara program yang dibuat seperti membuat sanitasi di masjid dan surau, memasang poster amaran serta memberikan penerangan kepada penduduk dalam memastikan mereka mengambil vaksin untuk mengelak dijangkiti wabak COVID-19.

“Semasa berlakunya wabak, penduduk yang dijangkiti COVID-19 diberikan bantuan bekalan makanan supaya mereka tidak keluar dari rumah kerana bimbang menjangkiti penduduk yang lain,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung tersebut baru-baru ini, Kampung Talang Hulu yang mempunyai 2,000 penduduk, terletak kira-kira lima kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan terdapat tiga lagi kampung di dalam pentadbiran yang sama iaitu Kampung Talang Masjid, Talang Changkat dan Talang Tengah.

Kampung itu juga pernah mendapat tempat ketiga bagi Anugerah Desa Perdana dan Anugerah Desa 1Malaysia pada 2016. Kebanyakan penduduk bekerja sendiri seperti petani, pekebun durian selain kakitangan kerajaan dan swasta yang kampung ini juga mempunyai kemudahan masjid, surau, sekolah, dewan orang ramai, klinik desa, pusat Rukun Tetangga, sekolah agama rakyat, gelanggang futsal, gerai dan bengkel kenderaan.

Sementara itu, Pengerusi Rukun Tetangga (RT) Kampung Talang Hulu Mohd Yasin Mohd Wahi, 43, berkata pengurusan wabak COVID-19 di kampung tersebut telah merapatkan hubungan penduduk dalam kebersamaan menghadapi cabaran pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami membantu penduduk yang terkesan COVID-19 dengan membekalkan makanan kepada mereka dan kami juga laksanakan beberapa program hasil dana sendiri dan bantuan tabung masjid. Selain itu kami turut gerakkan anak-anak muda untuk pelaksanaan sanitasi di tempat tumpuan orang ramai bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Mohd Yasin berkata pihaknya juga mempunyai Skuad Uniti bagi membantu penduduk yang dilanda bencana dan banjir selain mewujudkan Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) untuk penganjuran berkaitan program kesihatan seperti pameran melibatkan beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, wang kemenangan RM50,000 itu akan digunakan untuk membina hentian bas dan pusat komuniti di Dewan Orang Ramai yang akan menyediakan kemudahan Internet bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Semasa sekolah tidak beroperasi, kebanyakan pelajar terpaksa menggunakan telefon ibu bapa untuk PdPR kerana di sini tiada kemudahan wifi menyebabkan pelajaran pelajar terganggu dan kerana itu kami mahu wujudkan pusat komuniti bagi membolehkan pelajar menggunakannya,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Zulqarnain Mohamad berkata kampung itu akan dimasukkan dalam kawasan pentadbiran MPKK tahun depan bagi membolehkan pelaksanaan program pembangunan dan kebersihan termasuk kutipan sampah.

Sumber: BERNAMA