Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Sumber Air Mentah Krisis Masa Hadapan negara?

Sumber Air Mentah Krisis Masa Hadapan Negara?

Malaysia yang kaya dengan sumber air dapat memenuhi kehendak dan permintaan rakyat bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti kehidupan harian. Walaubagaimanpun, akibat daripada proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara telah menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar yang kian berleluasa, sehingga merosakkan sistem sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat. Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi air yang dapat digunakan oleh manusia dengan selamat adalah semakin berkurangan.

Pencemaran sungai di Malaysia merupakan satu masalah alam sekitar yang semakin ketara dari semasa ke semasa dan sehingga sekarang masih tiada lagi suatu cara penyelesaian secara efektif yang dapat menangani masalah ini.Baru-baru ini, isu bekalan air paip yang berbau busuk telah berlaku di sekitar tujuh daerah di Wilayah Persekutuan dan Selangor.


Ia berpunca daripada pengaliran masuk air busuk hitam (leachate) yang mengandungi ammonia dan bahan berbahaya lain dari kawasan pelupusan sampah Bukit Tagar ke aluran anak sungai dan seterusnya memasuki sungai Selangor.Bekalan air paip yang berbau ini telah menyebabkan penduduk di daerah-daerah tersebut tidak berani menggunakannya. Masalah ini telah menyedarkan kita betapa seriusnya masalah pencemaran air dinegara kita maka kita tidak boleh memandang ringan terhadapnya lagi malah harus mengambil tindakan yang sewajarnya agar dapat mengelakkan masalah pencemaran air yang bertambah buruk.

Penerokaan Tanah

Pembangunan pesat negara dan proses urbanisasi telah membawa kepada perubahan pengunaan tanah bagi sesuatu kawasan bagi menampung keperluan kegiatan ekonomi, kemudahan-kemudahan sosial dan lain-lain infrastruktur yang berkaitan. Perubahan gunatanah ini telah mendedahkan sungai kepada pelbagai tekanan yang kadangkala tidak dapat ditanggung oleh sungai, yang secara langsung menyebabkan perubahan sistem sungai bukan sahaja dari segi kualiti tetapi juga kuantiti.


Seperti yang diketahui, sumber air mentah dinegara kita kebanyakannya diperolehi terus dari sungai utama dan empangan yang dibina untuk menyimpan air. Namun, kualiti air sungai di Malaysia adalah dalam keadaan yang semakin merosot akibat daripada pencemaran alam sekitar. Berdasarkan statistik, buat masa kini sebanyak 29 buah sungai di negara ini didapati mengalami pencemaran teruk manakala 11 buah lagi tercemar sederhana manakala 80 buah lagi masih dalam keadaan terkawal.


Antara negeri yang mengalami pencemaran sungai yang paling tinggi adalah Johor, Selangor dan Pulau Pinang. Munurut laporan kualiti alam sekitar yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 2004 tahun, antara sungai-sungai yang tercemar teruk adalah termasuk Sungai Menggaris di Sabah, Sungai Jelutong di Pulau Pinang serta Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di Johor.

Pencemaran sistem sungai yang berlaku di negara kita kebanyakannya adalah berpunca dari kelodak, pembuangan dan pelepasan sisa kumbahan dari kilang-kilang dan penempatan setinggan, di samping bahan lain seperti najis binatang, sampah sarap dan logam berat seperti arsenik, kadmium raksa dan plumbum. Dari sudut kajian hidrologi, pada amnya pencemaran air dapat diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu pencemaran fizikal yang merujuk kepada bahan tidak larut dalam air seperti sampah sarap daripada logam, kaca, kelodak dan kertas, Pencemaran biologi seperti najis binatang yang boleh menyebabkan kemunculan bakteria seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain manakala yang terakhirnya ialah Pencemaran kimia iaitu bahan kimia terlarut yang terhasil daripada Pencemaran fizikal dan biologi serta logam berat.

Kesan Pencemaran Sungai

Munurut kajian, kira-kira 70% masalah pencemaran sungai di Malaysia adalah disebabkan oleh pembuangan sampah dan kumbahan. Pembuangan sampah sarap, sisa buangan domestik dari kawasan perumahan, perkampungan, setinggan dan lain-lain petempatan telah menyebabkan kualiti air sungai terjejas.. Penggunaan air mentah yang tidak berkualiti boleh membawa mudarat kepada manusia. Contohnya, bacteria E-coli, cacingnetamod, dan mikrob yang terhasil akibat pembuangan najis binatang ke dalam sungai akan membawa penyakit berbahaya seperti hepatisis, taun, disentri, demam kepialu dan kusta. Pembuangan najis binatang yang tidak sistematik banyak berlaku dinegara kita terutamanya di negeri Sembilan dan Selangor. Ini telah menunjukkan bahawa masyarakat kita masih kekurangan kesedaran sivik dalam memahami pemuliharaan  dan pemulihan alam sekitar.

Susulan kepada jumlah permintaan air oleh pengguna yang kian meningkat berbanding dengan jumlah kualiti air mentah yang kian menurun, ketidakseimbangan ini lama-kelamaan akan menyebabkan kekurangan sumber air mentah yang sesuai dan selamat dapat dibekalkan kepada masyarakat, sebagai satu masalah besar yang akan dihadapi oleh negara.

Masalah kekurangan air kian berlaku di negara kita terutamanya di Negeri Sembilan yang sering mengalami catuan air. Oleh itu, pada pendapat saya, tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini tidak harus dipikul oleh satu pihak sahaja malah masyarakat Malaysia juga harus bekerjasama dengan pihak kerajaan terutamanya dari segi sikap masyarakat yang tidak menjaga kebersihan sungai, supaya program pemulihan dan pengurusan sungai dapat dilakukan berterusan bagi menjamin kesempurnaan ke atas regim sungai dan persekitarannya.

Sumber Maklumat: National Consumer Complaints Center (NCCC)