Sabtu 20 October 2018
A- A A+

Kitar semula

Kitar Semula


Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran. Kitar semula berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai. Sebagai tambahan, ia menjadi sumber kepada alam sekitar, kewangan dan faedah sosial. Bahan-bahan seperti kaca, besi, plastik dan kertas dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baru.

 

Mengapa Perlu Kitar Semula


Kitar semula merupakan salah satu cara terbaik untuk kita bagi mendapatkan kesan yang positif kepada dunia yang sedang didiami ini. Kitar semula adalah penting bagi kita dan alam semulajadi. Kita perlu bertindak dengan pantas kerana jumlah bahan buangan atau sisa yang di buang oleh kita sendiri semakin mneningkat dari semasa ke semasa.
Jumlah sisa yang dihasilkan adalah semakin meningkat kerana :

   ● Peningkatan dalam pendapatan/kekayaan yang memberi makna orang ramai membeli lebih banyak produk dan seterusnya menghasilkan lebih banyak produk dan seterusnya menghasilkan lebih banyak sisa
   ● Peningkatan populasi bermakna semakin ramai manusia di muka bumi ini yang menghasilkan sisa
   ● Pengeluaran produk berteknologi dengan pembungkusan yang terkini di mana kebanyakannya mengandungi bahan yang tidak dapat dilupuskan (bahan tidak biodegradasi)
   ● Perubahan gaya hidup seperti makanan segera yang menghasilkan sisa/bahan buangan yang tidak dapat dilupuskan seperti pembalut makanan yang dibuat dari kertas minyak

 

Kepentingan Terhadap Alam Sekitar


Kitar semula adalah amat penting kerana sisa buangan memberikan kesan negative yang amat besar kepada alam semula jadi :

   ● Penghasilan air larut resap (leachate) dan pelepasan gas metana (methane) yang dihasilkan daripada sisa pepejal yang terurai di tapak pelupusan. Kitar semula dapat membantu  mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh sisa pepejal
   ● Pemanasan global dan pemusnahan habitat adalah kesan daripada pemusnahan hutan. Kitar semula dapat mengurangkan keperluan terhadap bahan mentah. Oleh itu, sumber asli seperti kayu balak dapat disimpan dan dikekalkan
   ● Tenaga yang besar digunakan apabilan membuat produk daripada bahan mentah. Kitar semula hanya memerlukan sedikit tenaga dan secara tidak langsung dapat membantu dalam mengekalkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam semula jadi

 

Kepentingan Terhadap Manusia


Kitar semula sangat penting kepada bandar di seluruh dunia dan manusia yang hidup di dalamnya :

   ● Meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan. Selain itu, kebanyakkan kawasan tanah di negara kita didapati kurang sesuai untuk membina tapak pelupusan disebabkan sebahagian besar meliputi kawasan tadahan air
   ● Mengurangkan belanjawan kewangan. Menghasilkan produk daripada bahan mentah lebih tinggi kosnya berbanding dihasilkan daripada bahan-bahan kitar semula
   ● Memelihara sumber asli semula jadi untuk generasi akan datang. Kita semula mengurangkan penggunaan bahan mentah dan menggunakan sedikit tenaga berbanding pemprosesan bahan dari sumber asli. Oleh itu, alam semula jadi dapat dipelihara untuk generasi akan datang

 

Sumber : Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking