Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kuala Lumpur, Jakarta Tubuh Dana Serantau

MALAYSIA dan Indonesia akan menubuhkan sebuah dana modal teroka dikenali sebagai Dana Serantau bagi memenuhi keperluan pembiayaan modal syarikat teknologi di Asia Tenggara.
Perjanjian persefahaman (MoU) bagi penubuhannya dimeterai Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dan Indonesia Investment Agency (IIA) di Kuala Lumpur pada 12 Okotober 2011, disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
MoU itu juga adalah antara hasil utama daripada Simposium Modal Teroka Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIVCS) empat hari yang berakhir pada 12 Oktober.
Meskipun saiz dana berkenaan belum dimuktamadkan, namun dana yang akan dibiayai secara bersama oleh kedua-dua negara itu, menyasarkan membiayai kumpulan usahawan yang memiliki perniagaan berasaskan teknologi dengan potensi pertumbuhan tinggi dan mampan.
kljakarta
Datuk Seri Najib menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif MTC, Norhalim Yunus (dua dari kanan) dan Pengerusi Agensi Pelaburan Indonesia, Soritaon Siregar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
MTDC dalam kenyataannya mengenai inisiatif itu berkata, rasional penubuhan dana itu bersandarkan faktor bahawa Malaysia dan Indonesia memiliki gabungan penduduk berjumlah 300 juta yang mana ia secara tidak langsung boleh mewujudkan sebuah pasaran penting selepas China dan India di rantau ini.
MTDC berkata, penubuhan dana itu akan membantu melonjakkan lagi sektor perniagaan berteknologi tinggi kerana ia tidak hanya menumpu kepada bidang teknologi komunikasi dan maklumat, malah merangkumi bioteknologi, tenaga diperbaharui dan teknologi berasaskan bio pertanian yang kini amat memerlukan bantuan modal serta sumber untuk mengeksploitasikan lagi perniagaan baru itu.
Terdahulu, Datuk Seri Najib dalam ucapantamanya pada simposium itu menyeru institusi kewangan dan syarikat modal teroka tidak hanya menumpukan pelaburan dalam perniagaan berasaskan ICT, malah mengembangkan skop pembiayaan meliputi bidang perniagaan berteknologi tinggi, khususnya teknologi berasaskan nano, sains hayat, tenaga diperbaharui serta minyak dan gas.
Katanya, semua teknologi berkenaan dikenal pasti mampu menjadi sumber janaan utama pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Datuk Seri Najib turut menyaksikan MoU antara MTDC dengan Export-Import Bank of Malaysia Bhd yang bertujuan mewujudkan kerjasama bagi memudahkan perkongsian maklumat serta membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana tempatan mengukuhkan aktiviti perniagaan rentas sempadan.
Sumber: Berita Harian
Artikel dimasukkan pada 13 Oktober 2011