Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Malaysia, AS Komited Tingkat Perkongsian Komprehensif

Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengakhiri lawatan bersejarah beliau ke Malaysia pada 28 April 2014, dengan pemimpin kedua-dua negara beriltizam meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian komprehensif untuk memperkukuh kepentingan bersama dan nilai bersama rakyat.

Bagi menandakan fasa baharu perkongsian komprehensif itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh mekanisme dialog dalam bidang utama, termasuk kerjasama politik dan diplomatik, perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat, keselamatan dan pertahanan serta alam sekitar, sains, teknologi dan tenaga.

Komitmen itu diperluaskan kepada usaha meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai Kanan MalaysiaAS sebagai forum utama bagi pelaksanaan perkongsian komprehensif menerusi rundingan tetap.

Lawatan Obama ke Malaysia adalah yang pertama oleh Presiden Amerika sejak lawatan Lyndon B Johnson pada tahun 1966.

Obama diberikan sambutan permaidani merah di Bangunan Parlimen pada Sabtu, diraikan pada jamuan negara dan pada Ahad mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin muda Asia Tenggara.

obama in kl

Obama bersama Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia, bermula pada 26 April 2014 hingga 28 April 2014

 

Malaysia hentian ketiga

Presiden AS itu juga melawat Masjid Negara di ibu negara dan bersama-sama Datuk Seri Najib melancarkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya, bandar raya pintar yang menempatkan kira-kira 800 firma teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan bukan ICT, termasuk 43 perbadanan multinasional.  Malaysia adalah hentian ketiga dalam siri lawatan Obama ke empat negara Asia, bermula di Jepun dan diikuti Korea Selatan, sebelum berlepas ke Filipina pada 28 April 2014.

Datuk Seri Najib berkata, kehadiran Obama menandakan permulaan fasa baharu perkongsian kedua-dua negara dengan persahabatan dipererat dan perkongsian komprehensif. Obama dan Datuk Seri Najib turut memuji kemajuan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) setakat ini dan mengulangi komitmen mereka untuk menyelesaikan isu tertangguh dan memuktamadkan perjanjian peringkat tinggi secepat mungkin.

Pada mesyuarat itu, Obama dan Datuk Seri Najib mengakui akan pentingnya keamanan dan kestabilan bagi keselamatan dan kemakmuran ekonomi bersama. Mereka turut bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan terbaharu di Laut China Selatan dan sedar kepentingan melindungi keselamatan maritim dan memastikan kebebasan navigasi dan penerbangan di rantau itu, termasuk laluan kritikal di Laut China Selatan.

Artikel dimasukkan pada 29 April 2014

Sumber: Berita Harian