Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Hubungan Malaysia - China Terus Akrab Selepas 40 Tahun

Hubungan diplomatik Malaysia-China bermula pada tahun 1971 dengan sepucuk surat daripada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein kepada rakan sejawatannya, Perdana Menteri China pada masa itu, Zhou Enlai. Ketika kedua-dua buah negara meraikan ulang tahun ke-40 hubungan Malaysia-China, keakraban hubungan kedua-dua buah negara jelas terserlah sehingga ke hari ini terutamanya dalam bidang diplomatik dan ekonomi.

Menurut Setiausaha Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Tan Kai Hee, China menghargai keberanian Tun Abdul Razak menjalin hubungan diplomatik ketika negara itu dipinggirkan dunia kerana ideologi komunisnya.  Tindakan Tun Abdul Razak ternyata membuka lembaran baru dalam hubungan diplomatik China dengan negara-negara di rantau Asia Tenggara. Selepas Malaysia, anggota lain Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) turut mengambil langkah serupa.

Selepas Malaysia menandatangani perjanjian hubungan dua hala dengan China pada 31 Mei 1974, Filipina dan Thailand mewujudkan hubungan dengan China pada Julai 1975, Singapura pada tahun 1990 diikuti Brunei pada 1991. Indonesia yang menggantung hubungan diplomatik dengan China pada Oktober 1967 memulihkan hubungan itu pada Julai 1990.

Menurut Tan, sehingga ke hari ini, China masih menghargai langkah berani yang diambil oleh Tun Abdul Razak. Itulah sebabnya mengapa setiap duta baru China yang dilantik ke Malaysia akan mengundang Tun Rahah (balu Tun Abdul Razak sebagai tetamu istimewa untuk menghadiri majlis makan malam.

Apabila Datuk Seri Najib, anak lelaki Tun Razak melawat China buat julung-julung kalinya sebagai Perdana Menteri pada 2009, beliau diberikan hadiah oleh rakan sejawatannya, Wen Jiabao sekeping gambar bapanya menandatangani perutusan bersama dengan Zhou. Tun Rahah turut diundang melawat China bersama Datuk Seri Najib pada masa itu untuk meraikan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara.

pm china

Datuk Seri Najib anggap lawatan ke China amat berhasil. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden China Xi Jinping.

Ikatan serta hubungan yang sudah lama terjalin dijangka semakin erat dengan lawatan Datuk Seri Najib selama enam hari ke China pada akhir bulan Mei, 2014. Sejak 40 tahun lalu, kedua-dua kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk mengekalkan hubungan erat dengan perlaksanaan beberapa program utama dua hala dalam bidang kerjasama ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Ini termasuk penubuhan kampus cawangan Universiti Xiamen, membenarkan syarikat China membina Jambatan kedua Pulau Pinang di samping mempunyai taman perindustrian Malaysia-China di Pahang. Hakikatnya sekarang, Malaysia adalah rakan perdagangan China terbesar di kalangan ASEAN. Malaysia juga muncul sebagai negara Asia ketiga terbesar untuk mencatat jumlah dagangan tahunan sebanyak AS$100 bilion selepas Jepun dan Korea Selatan.

Di pihak China, sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara kedua-dua negara, China telah meminjamkan sepasang beruang panda ke Malaysia, sebagai sebahagian daripada diplomasi panda negara itu. Malaysia ternyata berbangga kerana ia adalah antara 14 buah negara yang menerima beruang panda di bawah program itu.

Sebagai meraikan hubungan 40 tahun antara kedua-dua buah negara, Datuk Seri Najib mengetuai delegasi terbesar dari Malaysia terdiri daripada 300 pegawai. Perdana Menteri memilih tarikh 31 Mei untuk bertemu dengan para pemimpin China di Great Hall of the People di mana bapanya (Tun Abdul Razak) berada di sana 40 tahun lalu.

Demikian kata Tan Sri Ong Ka Ting, wakil khas perdana menteri ke China. Menurut Tan Sri Ong, 31 Mei akan dirakam sebagai satu lagi tarikh bersejarah untuk kedua-dua buah negara sejak hubungan diplomat antara kedua-dua negara dijalin. Sudah semestinya juga, dengan lawatan Datuk Seri Najib ke Beijing, banyak peluang untuk melonjakkan lagi hubungan persahabatan dua hala Malaysia-China.

Sumber : BERNAMA

Artikel Dimasukkan Pada : 2 Jun 2014