Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Malaysia, Arab Saudi Tangani Keganasan Bersama


KERJASAMA Malaysia-Arab Saudi mengenai ancaman keselamatan khususnya yang berkaitan keganasan membuka lembaran baru hasil lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara itu minggu lalu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata hasil perbincangan Perdana Menteri dengan Raja Abdullah Abdulaziz, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dalam isu keselamatan, khususnya mengenai keganasan merentasi sempadan.

Katanya, dengan persetujuan Najib, beliau menyatakan komitmen kepada Timbalan Perdana Menteri pertama Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz Al Saudi dan Timbalan Perdana Menteri kedua dan Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud, ketika perbincangan dengan mereka.

Beliau mula bertukar maklumat risikan. Arab Saudi memerlukan talian dan maklumat mengenai rantau kita. Malaysia pula perlukan maklumat dan kerjasama Asia Barat. Ancaman pengganas dan militan ekstremis sama ada Islam, Hindu serta agama lain amat serius dan memerlukan pemerhatian semua pihak.

Bagi tujuan itu, Malaysia dan Arab Saudi bertekad untuk menanganinya secara bersama,. Beliau berkata, memorandum menjalin kerjasama itu akan dimeterai tidak lama lagi susulan lawatan berkenaan bagi menzahirkan komitmen serius kedua-dua pihak berhubung isu keselamatan dan ancaman keganasan.

Hishammuddin adalah antara menteri yang menyertai delegasi lawatan rasmi Perdana Menteri yang disifatkan sebagai amat berjaya dan mencapai tahap paling tinggi dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara. Sementara itu, Perdana Menteri meneruskan usaha meningkatkan hubungan dengan negara lain apabila tiba untuk lawatan negara ke India, petang semalam selepas lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi minggu lalu.

Lawatan kali ini antara terbesar ke India dengan diiringi ramai Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Menteri, delegasi perdagangan dan pegawai tertinggi jabatan dan agensi kerajaan. Ketibaan Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor dari Abu Dhabi disambut oleh Menteri Negeri Keretapi India, E Ahmed; Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Vijay Gokhale dan rakan sejawatannya di India, Datuk Tan Seng Sung serta Menteri Besar Pahang dan Perak, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Najib kemudian beredar ke hotel penginapan di Taj Palace dan disambut Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, pegawai tinggi kerajaan, wakil syarikat berkaitan kerajaan serta rakyat Malaysia yang tinggal di New Delhi.


Tan dalam sidang akhbarnya berkata, lawatan Perdana Menteri bakal meningkatkan hubungan dua hala yang sangat rapat Malaysia-India yang sudah sedia terjalin, termasuk dalam sektor perdagangan dan pelancongan. Mengenai perbincangan Perdana Menteri dengan kepimpinan kerajaan India, beliau berkata pelbagai perkara akan disentuh bagi meningkatkan hubungan, tetapi ia akan diperincikan apabila pertemuan diadakan sepanjang lawatan lima hari itu, termasuk ke Chennai.

Sumber: Berita Harian, 25 Oktober 2010