Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Kemesraan Hubungan Malaysia-Australia Terpamer

najib-gillard

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Julia Gillard menyaksikan persembahan tarian tradisional Australia semasa menghadiri jamuan makan tengah hari di Bangunan Parlimen, Canberra, Australia

 

Suasana mesra begitu dirasai apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap tentang hubungan Malaysia-Australia berikutan lawatan rasmi tiga hari beliau ke negara itu, mulai 2 Mac 2011 yang lalu.

Datuk Seri Najib melahirkan kegembiraan beliau dan berkata jadual kunjungan beliau berjalan lancar dan membuahkan hasil yang diharapkan.

Walaupun cuaca Australia agak sejuk berbanding cuaca panas tropika dan lembap di Malaysia, namun suhu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara bolehlah dianggap begitu baik sekali.

Datuk Seri Najib menyifatkan Australia sebagai rakan dan mempelawa negara itu menyertai pelan transformasi Malaysia untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Katanya, di bawah wawasan itu, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun lagi Malaysia berharap dapat mencatat pertumbuhan sekurang-kurangnya 6 peratus setahun secara berterusan.

Menurut Datuk Seri Najib bagi mencapai wawasan itu dan transformasi ekonomi, Malaysia memerlukan pelaburan sehingga AS$440 bilion (RM1.3 trilion) dalam tempoh 10 tahun akan datang dan sekali gus dapat mewujudkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan yang sebahagian besarnya merupakan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Datuk Seri Najib juga berkata beliau kagum dengan kemampuan kerajaan Australia serta "semangat waja dan ketabahan rakyatnya" dalam menghadapi banjir besar yang melanda negara itu sedikit masa dahulu.

Gillard pula menyuarakan kata-kata pujian terhadap Datuk Seri Najib dan menyifatkan beliau sebagai tokoh yang boleh dijadikan teladan dalam memerangi gerakan pelampau dan menjunjung nilai-nilai keIslaman.

Gillard berkata Datuk Seri Najib melakukan lawatan ke Australia bagi memenuhi undangan beliau untuk membalas lawatannya ke Malaysia tahun lepas dan kunjungan rakan sejawatannya itu mencatat satu lagi detik penting dalam hubungan yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

Pada mesyuarat itu, Datuk Seri Najib dan Gillard sependapat bahawa hubungan Malaysia-Australia kini merangkumi lebih banyak bidang dan lebih kukuh berbanding sebelumnya.

Mereka juga bersetuju bahawa hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara menjadi asas kepada pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia.

Pelbagai isu dibincangkan pada mesyuarat berkenaan, termasuk kerjasama ekonomi, jenayah merentasi negara dan pendidikan.

Antara kejayaan paling besar yang dicapai hasil kunjungan Datuk Seri Najib ialah komitmen yang diberi oleh kedua-dua pemimpin untuk berusaha memuktamadkan dalam masa setahun rundingan yang telah berlanjutan sejak sekian lama mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Australia.

Datuk Seri Najib mencadangkan agar rundingan tentang perkara itu diselesaikan dengan cepat dan perkara ini dipersetujui Gillard apabila berkata "ia suatu idea yang baik".

Malaysia dan Australia memulakan rundingan itu pada 2005.

Satu lagi perkara penting yang terlakar sempena lawatan Datuk Seri Najib itu ialah penegasan beliau bahawa Malaysia tidak akan sekali-kali membenarkan buminya dijadikan tempat persinggahan bagi kegiatan penyeludupan manusia iaitu antara perkara yang menjadi isu panas di Australia.

Gillard berkata beliau mengalu-alukan langkah Malaysia meminda Akta Pencegahan Penyeludupan Orang dan Pencegahan Penyeludupan Pendatang 2007 yang mengklasifikasikan perbuatan menyeludup manusia sebagai perbuatan jenayah.

Malaysia Pelawa Pelabur

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rantau ini menawarkan potensi yang besar dan bakal menjadi pusat pertumbuhan baru global.

Menurutnya, rantau ASEAN, Asia Timur dan kawasan sehingga ke Australia bakal menjadi pusat pertumbuhan utama dunia dan sehubungan itu, beliau mempelawa usahawan dan pelabur Australia mengambil kesempatan itu merebut potensi itu dengan membuat pelaburan di Malaysia.

Benua Eropah tidak menentu, manakala rantau Asia Barat sedang bergolak sementara benua Afrika masih tidak berubah.

Datuk Seri Najib mempelawa usahawan dan pelabur-pelabur Australia supaya melabur dalam industri penerokaan minyak dan gas serta pendidikan.

Beliau berharap, usahawan dan pelabur Australia akan mengambil bahagian dalam transformasi ekonomi Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dengan memperolehi pendapatan tinggi.

Menurutnya, Malaysia memerlukan bakat dan pakar, mereka yang mempunyai kapasiti intelek, mereka yang tahu bagaimana mengurus sumber manusia dan mereka yang tahu mencipta kekayaan.

Pendidikan

Mengenai pendidikan, Datuk Seri Najib berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk mewujudkan liberalisasi dalam dasar pendidikan pada 1999 bagi membolehkan tiga universiti daripada Australia iaitu Universiti Monash, Curtin dan Swinburne bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, hasratnya pada waktu itu semasa menjadi Menteri Pelajaran ialah pada masa sama untuk menarik kemasukan pelajar asing ke Malaysia. Kini terdapat kira-kira 75,000 pelajar asing di Malaysia tetapi malangnya hanya terdapat kira-kira 100 pelajar Australia di Malaysia berbanding 23,000 pelajar Malaysia di Australia.

Datuk Seri Najib berkata, Victoria merupakan negeri terbesar di Australia yang mempunyai ramai pelajar Malaysia dan mereka yang bekerja di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan bahawa Malaysia akan membuka pejabat Konsulat Besar di Melbourne tidak lama lagi.

Sumber: Bernama, Utusan Malaysia