Sabtu 18 August 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 9 Ogos - Prestasi ekonomi akan pulih dalam masa terdekat

9 Ogos - Prestasi ekonomi akan pulih dalam masa terdekat

9.8 ekonomi

KUALA LUMPUR: Penilaian prestasi ekonomi negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) belum dinilai sepenuhnya berikutan laporan ekonomi masih pada suku pertama 2018.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin, berkata petunjuk kewangan terkini masih merekodkan aliran keluar modal sejak tahun lalu.

“Ini berikutan respon kepada pelbagai faktor, khususnya kelonggaran dasar monetari Amerika Syarikat (AS) yang meningkatkan kadar faedahnya dan ketegangan perdagangan antara AS dan China.

“Kerajaan mengumumkan beberapa langkah pengukuhan kedudukan ekonomi dan kewangan, termasuk menghentikan amalan kewangan tidak telus dan tidak terurus serta menangani ketirisan pada semua peringkat pentadbiran.

“Walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka terkesan berikutan pelaksanaan dasar pembaharuan, di samping persepsi awal pelabur asing yang mengambil langkah berhati-hati, kesan ini dijangka hanya bersifat sementara.

“Ia akan kembali pulih dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Faisah Mohd Fakeh (BN-UMNO Sabak Bernam) berhubung prestasi ekonomi sebelum dan selepas PRU-14 serta kesannya terhadap pelabur asing.

Mohd Radzi berkata, tumpuan dasar kerajaan pada masa depan akan mengimbangi objektif pengukuhan kedudukan fiskal bagi menangani sentimen pasaran dan pelabur serta rakyat.

“Dasar struktur dan strategi bagi menentukan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif akan diperkenalkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

“Ia akan melengkapi inisiatif kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi, sekali gus menyumbang kepada usaha untuk menjadikan semula Malaysia sebagai negara yang dihormati dan dipandang tinggi,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 9 Ogos

 

Real time web analytics, Heat map tracking