Selasa 23 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 9 Ogos - Empat perkhidmatan baharu dikenakan cukai

9 Ogos - Empat perkhidmatan baharu dikenakan cukai

9.8 cukai

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti perjudian merangkumi nombor ramalan, kasino, kelab, loteri dan lumba kuda adalah antara empat perkhidmatan baharu dikenakan cukai apabila Cukai Perkhidmatan dikuatkuasakan mulai 1 September ini.

Turut dikenakan cukai ialah perkhidmatan penerbangan dan catar kapal terbang termasuk helikopter domestik kecuali di Sabah dan Sarawak, perkhidmatan teknologi maklumat (IT) dan bekalan elektrik domestik bagi penggunaan lebih 600 unit sebulan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat berkata, kadar akan dikenakan bagi Cukai Perkhidmatan adalah enam peratus.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan yang baharu akan mengekalkan model dan skop berasaskan Akta Cukai Perkhidmatan 1975 yang dimansuhkan apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 2015.

“Secara khusus, hanya 43.5 peratus jumlah perkhidmatan akan dikenakan cukai pada kadar enam peratus berbanding 64.8 peratus perkhidmatan yang dikenakan GST pada kadar sama,” katanya.

Guan Eng berkata, beberapa penambahbaikan terhadap model dan skop cukai 1975 dilakukan bagi memudahkan pentadbiran cukai, mengurangkan kos perniagaan dan meminimumkan kelemahan dalam sistem percukaian seperingkat.

“Ia juga bertujuan mensejahterakan rakyat dengan meringankan tekanan kos sara hidup,” katanya. Selaras pelaksanakan cukai itu, katanya, beberapa perkhidmatan turut mengalami penambahbaikan dan penyeragaman cukai.

Katanya, ia membabitkan perkhidmatan penginapan (hotel) yang diperluaskan kepada katil dan sarapan (B&B), kemudahan bersama, pangsapuri perkhidmatan dan inap desa.

“Ia merangkumi perkhidmatan restoran termasuk katering, makanan bawa pulang, trak makanan dan penyediaan makanan minuman di outlet runcit.

“Perkhidmatan insurans dan takaful kepada perniagaan (B2B) diperluaskan kepada perlindungan insurans am yang ditawarkan kepada individu (B2C) tetapi tidak meliputi insuran perubatan.

“Cukai juga akan dikenakan terhadap perkhidmatan sewa pandu meliputi semua penyewaan kenderaan termasuk yang didaftar di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

“Turut tersenarai, semua jenis perkhidmatan di kelab malam, kelab persendirian dan kelab golf atau lapang sasar.

“Semua perkhidmatan telekomunikasi termasuk khidmat tambahan seperti aplikasi dan permainan dalam pakej talian, perkhidmatan internet dan televisyen berbayar (satelit dan internet) turut terbabit,” katanya.

Sumber : Berita Harian, 9 Ogos

Real time web analytics, Heat map tracking