Jumaat 16 November 2018
A- A A+

29 Ogos - Agong perkenan pelaksanaan SST

29.8 ydpa

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 24 Ogos lalu selepas Dewan Rakyat dan Dewan Negara meluluskannya masing-masing pada 9 Ogos dan 20 Ogos.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ini bermakna SST boleh dikuatkuasakan mulai 1 September ini bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan.

“Kementerian Kewangan ingin menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V kerana memperkenankan pelaksanaan SST yang selari dengan komitmen​​​​​​​ kerajaan Pakatan Harapan dalam mendukung janji manifesto pada pilihan raya yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, berasaskan pelaksanaan SST yang akan diwartakan sebelum 30 Ogos ini, kerajaan berharap ia dapat meringankan beban rakyat memandangkan kerajaan hanya akan mengutip SST sebanyak​​​​​​​ RM21 bilion pada 2019 berbanding GST RM44 bilion.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan juga berharap pengusaha perniagaan dapat mematuhi peraturan serta mendaftarkan perniagaan mereka dengan SST.

Guan Eng berkata, ia bertujuan memastikan tiada pengusaha mengambil kesempatan selain sebagai langkah kerajaan mengekang kenaikan harga yang boleh mengakibatkan tekanan kepada rakyat. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memantau dan mengambil tindakan ke atas sebarang akiviti pencatutan, katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 29 Ogos 2018.

Real time web analytics, Heat map tracking