Jumaat 21 September 2018
A- A A+

29 Ogos - 4.4 peratus guru stres

29.08 kpm

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4.4 peratus atau 2,123 daripada 48,258 guru dikenal pasti mengalami stres tahap sederhana tinggi tahun lalu, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Pada tahun lalu, kementerian menjalankan kajian berkaitan stres dalam kalangan guru membabitkan 48,258 respoden.

“Hasil kajian menunjukkan sebanyak 4.4 peratus guru mengalami stres tahap sederhana tinggi.

“Hasil kajian ini juga menunjukkan stres dalam kalangan golongan itu disebabkan pelbagai faktor antaranya isu keluarga, kewangan, pentadbiran, bebanan tugas, tidak mendapat penghargaan, kekurangan kemahiran dalam menjalankan tugas dan tidak dilatih untuk menangani stres,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Zahari Sarip yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan statistik kajian dan langkah menangani masalah stres serta kemurungan dihadapi guru ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah bilangan kaunselor bagi membantu guru menghadapi stres dan masalah kemurungan.

Beliau berkata, pihaknya mengakui bilangan kaunselor ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) belum mencukupi setakat ini dan perlu dipertingkatkan bagi membantu menangani isu kesihatan mental dalam kalangan guru.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai aktiviti akan diadakan bagi membantu guru mengalami stres dan kemurungan antaranya Program Pengurusan Konflik, Program Pengurusan Emosi dan Program Rakan Perkhidmatan Awam (AKRAB).

Beliau berkata, guru yang disahkan pakar perubatan menghadapi masalah kesihatan mental atau kemurungan akan ditempatkan dalam jawatan kumpulan (pool) bagi memudahkan guru menerima rawatan sewajarnya.

“Guru besar dan pengetua juga perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti guru menghadapi masalah stres dan kemurungan.

“Kementerian juga menjalankan Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) kepada pengetua, guru besar dan guru bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil segera.

“Matlamat kementerian adalah untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi aktiviti menggembirakan dan bukan lagi membebankan,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 29 Ogos 2018

Real time web analytics, Heat map tracking