Jumaat 16 November 2018
A- A A+

3 Sep - Sukan Asia 2018 labuh tirai

 

sea

 JAKARTA: Sukan Asia ke-18 melabuhkan tirainya dalam upacara gilang gemilang di Jakarta malam ini ketika tuan rumah Indonesia memasang impian menjadi tuan rumah Olimpik 2032.

Ribuan atlet menyarung baju hujan berarak dalam hujang lebat di Stadium Gelora Bung Karno selepas kejohanan selama dua minggu yang menampilkan 40 jenis sukan berakhir.

“Saya mengisytiharkan Sukan Asia ke-18 ini ditutup,” kata Presiden Majlis Olimpik Asia Sheikh Ahmad Al Fahad Al Sabah.

“Anda berjaya melakukannya! Anda membuat tenaga Asia mengalir. Jakarta mempunyai keupayaan menganjurkan sebarang kejohanan besar bertaraf antarabangsa,” kata beliau.

Gembira dengan kejayaan temasya sukan berkenaan, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan bidaan untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2032, satu perkara yang tidak terfikirkan mereka beberapa minggu sebelum ini.

Presiden berkenaan menyampaikan ucapannya menerusi kiriman video dari pusat pemindahan sementara di Lombok di mana siri gempa bumi sejak beberapa minggu lalu yang mengorbankan 555 nyawa.

“Sukan ini adalah tenaga Asia yang sepakat untuk mencipta kelainan kepada dunia,” kata beliau.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach mengalu-alukan bidaan Indonesia itu tetapi memberi amaran kepada negara itu supaya mengekalkan tenaga positif hasil temasya sukan berkenaan.

“Saya fikir apa yang penting buat Indonesia sekarang adalah meneruskan momentum temasya sukan berkenaan. Jadi usah jatuh ke lubang hitam sebaik semua orang pergi.”

China mengungguli pungutan pingat buat tahun kesepuluh berturut-turut sejak edisi New Delhi 1982 dengan 132 pingat emas, sementara Jepun di tangga kedua dengan 75 emas, Korea Selatan (49 emas) dan Indonesia (31 emas). – AFP

 Sumber: Berita Harian, 2 September

Real time web analytics, Heat map tracking