Jumaat 16 November 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 14 September - 30,000 dijangka hadir sambutan Hari Malaysia

14 September - 30,000 dijangka hadir sambutan Hari Malaysia

 14.9 hari msia new

KOTA KINABALU: Seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2018 di Padang Merdeka, di sini, Ahad ini. Sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia ke-55 itu akan dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dihadiri turut pemimpin kerajaan Sabah dan Sarawak serta Persekutuan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan, berkata sambutan kali ini dijangka lebih meriah dengan persembahan lebih 800 murid dan pelajar sekolah sekitar daerah ini mempersembahkan tarian khas yang disusun Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Selain itu, katanya, pelbagai acara dan pengisian dirancang bagi memeriahkan sambutan termasuk ucapan amanat dan perasmian oleh Perdana Menteri serta acara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia 2018 sebagai simbolik kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963.

"Kita jangka lebih 30,000 pengunjung akan memeriahkan sambutan yang bermula pada jam 7 malam dan dijangka selesai pada pukul 12 tengah malam.

"Dalam pada itu, kita juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berganti-ganti (shuttle) dari tiga lokasi untuk menggalakkan kehadiran orang ramai, selain mengurangkan kesesakan lalu lintas," katanya ketika pada raptai sambutan Hari Malaysia, malam tadi.

Hashim berkata, tiga lokasi itu ialah Masjid Negeri Sabah-Padang Merdeka, KK Central-Padang Merdeka dan Stadium Likas -Padang Merdeka yang bermula dari jam 4 petang sehingga 6 petang serta 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam.

Sementara itu, penari cilik, Presley Hery, 8, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Tanjung Aru, berkata dia teruja untuk mempersembahkan tarian pada sambutan Hari Malaysia.

Katanya, ini kali pertama penyertaannya dalam acara gilang-gemilang itu dan seronok kerana bakal disaksikan ribuan orang termasuk pemimpin negara. "Gembira kerana bukan saja orang ramai akan datang tetapi juga diberitahu akan ada pertunjukan bunga api. Memang gementar tapi ramai kawan di sini, saya akan cuba buat yang terbaik," katanya.

Seorang lagi peserta tarian, Ary Daniella Mohd Hanafiah, 10, dari SK Mutiara berkata, ini kali kedua dia menyertai acara sambutan berkenaan selepas kali pertama tahun lalu. Katanya, dia sangat teruja kerana terpilih semula bagi membuat persembahan untuk empat gerak tari pada malam sambutan berkenaan.

Sumber : Berita Harian Online, 14 September 2018

Real time web analytics, Heat map tracking