Sabtu 20 October 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 3 Oktober - 13.7 juta pekerja tiada perlindungan keselamatan sosial - TPM

3 Oktober - 13.7 juta pekerja tiada perlindungan keselamatan sosial - TPM

3.10 tpm

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan kira-kira 13.7 juta pekerja di negara ini tiada perlindungan keselamatan sosial.

Katanya, jumlah itu amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, majikan dan kerajaan.

“Kerajaan dengan ini komited untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial bagi memastikan rakyat dari segenap lapisan masyarakat dilindungi sistem keselamatan sosial berpatutan dan lestari.

“Saya menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) memperluaskan perlindungan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri kepada semua lapisan pekerja dalam ekonomi baharu dan tidak mengabaikan pekerja dalam sektor tidak formal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Keselamatan Sosial Rantau Asia dan Asia Pasifik 2018 Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran, dan Presiden ISSA, Dr Joachim Breuer.

Forum selama tiga hari berakhir Khamis ini dihadiri 400 peserta dari dalam dan luar negara.

Dr Wan Azizah berkata, kumpulan yang sepatutnya layak mendapat perlindungan sosial ialah orang kurang upaya (OKU), warga tua, suri rumah, kanak-kanak dan pelbagai lapisan masyarakat.

“Bagi menguruskannya, kita perlu mewujudkan sistem keselamatan sosial bersepadu yang mana rakan sosial dapat berkongsi data bagi memastikan manfaatnya diterima golongan sasar,” katanya.

Beliau turut berkata, pengamal keselamatan sosial perlu berubah daripada pihak ‘pembayar’ menjadi pihak ‘penjaya’ bagi memastikan manfaat keselamatan sosial dapat dinikmati masyarakat.

“Namun, pendekatan yang inovatif tetap diperlukan untuk mengekalkan faedahnya dan mengembang luas kualiti perkhidmatan keselamatan sosial,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 2 Oktober 2018.

Real time web analytics, Heat map tracking