Ahad 16 December 2018
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 10 Oktober - Kerajaan gesa pengilang tempatan pelbagaikan produk baharu

10 Oktober - Kerajaan gesa pengilang tempatan pelbagaikan produk baharu

27.8 pm2

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Malaysia Baharu menggalakkan pengilang tempatan meneroka pembuatan produk baharu untuk mengelakkan kebergantungan produk import.

Perdana Menteri berkata ketika ini, Malaysia hanya mengeluarkan produk untuk kegunaan tetapi negara lain sudah maju ke depan dengan mengeluarkan produk, mesin dan teknologi.

Beliau berkata kemajuan inovasi di sesetengah negara membolehkan mereka memasarkan produk mereka ke negara lain.

“Pengilang tempatan digalak mempelbagaikan pengeluaran produk dan meneroka pembuatan produk baharu. Proses pembuatan memerlukan pengetahuan (dan kemahiran) untuk menghasilkan produk kita sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-50 Persatuan Pengeluar Malaysia (FMM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Chong Chieng Jen dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Dr Mahathir berkata masih banyak peluang pembuatan produk yang belum diteroka pengilang tempatan untuk kegunaan rakyat dan industri dalam negara.

Beliau memberi contoh kebergantungan pada kereta import Eropah dan Jepun, menyebabkan pengaliran keluar wang negara ke pasaran dunia.

“Kita beli produk orang lain (import) dan hantar wang ke luar negara. Keluaran Dalam Negara (GDP) tidak akan berkembang apabila pengaliran wang ke luar negara tinggi,” katanya.

Dr Mahathir yakin pengilang tempatan berupaya menyaingi kemahiran, pengetahuan dan teknologi dalam pengilangan di Korea, Jepun dan China.

Katanya, Korea Selatan sebelum ini tidak dikenali dalam industri pengilangan tetapi berjaya menempa nama melalui jenama Samsung.

Beliau turut memberi gambaran kemampuan dron teknologi China yang berupaya meningkatkan kualiti kerja, seperti menyiram racun pada tanaman dalam masa satu hari berbanding 100 pekerja yang membuat kerja sama selama sebulan.

“(Contohnya) Kita tidak menjangkakan Samsung akan mendahului Apple. Korea sebelum ini tidak terkenal dalam pembuatan teknologi (telefon bimbit). Kalau Korea boleh buat, Malaysia juga boleh,” katanya.

Dr Mahathir berkata agak ganjil apabila negara yang bergantung pada hasil pertanian mengeluarkan hampir 80 peratus eksport daripada kilang.

Katanya, pada satu masa, negara bergantung kepada sumber bijih timah, getah dan minyak sawit tetapi hasil sumber itu terhad.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata negara bergantung kepada produk keluaran kilang.

“Kalau ada kilang, ada tanah satu ekar yang boleh menampung 500 pekerja. Kalau mereka terbabit dalam pengilangan, lebih banyak pekerja berbanding pertanian.

“Masa depan negara bergantung kepada pengilang dan saya menggesa pengilang tempatan untuk menjayakan usaha ini,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 9 Oktober 2018.

Real time web analytics, Heat map tracking