Jumaat 22 February 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 29 Januari - Malaysia ada hak untuk bersuara menentang Israel - Tun M

29 Januari - Malaysia ada hak untuk bersuara menentang Israel - Tun M

 29.1 tun

PUTRAJAYA: "Dia nak batal, batallah". Itu jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 selepas Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal dengan pendirian bahawa Israel adalah negara pengganas dan tidak kisah dengan keputusan IPC itu.

"Kita berpegang kepada prinsip kita. Prinsip kita adalah Israel adalah negara penjenayah. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak ada sesiapa berkata apa-apa.

"Kita ada hak untuk menyuarakan suara dan perasaan kita, serta kita mempunyai dasar kita sendiri," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat tertutup Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan Bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Semalam, IPC membatalkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat di London selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang Para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Dr Mahathir berkata, keputusan sesebuah negara untuk tidak membenarkan warganegara lain masuk ke negara mereka adalah normal, seperti yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap warga dari lima negara Islam sebelum ini.

"Kenapa kita tidak boleh buat pada Israel? Kita ada alasan. Orang ini (atlet Israel) bukan mahu mendapatkan suaka, takut, sakit, susah.

"Ini bukan orang susah. Mereka datang dari negara yang tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa dan kita perlu berpegang kepada pendirian kita," katanya.

Ditanya sama ada keputusan Malaysia itu kelak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang lain, Dr Mahathir berkata: "Kita tak boleh anjur Sukan Olimpik, kita boleh anjur sukan lain.

"Saya dapati dunia terpaksa ikut Israel. Saya tak fahamlah sebab dunia ada kuasa tapi terpaksa ikut Israel. Kita tidak ikut," katanya.

Ditanya mengenai Malaysia pernah membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke negara ini pada 1997 ketika di bawah pentadbirannya, Dr Mahathir berkata, beliau juga pernah membenarkan pelajar sekolah Israel datang ke Malaysia untuk menunjukkan kepada mereka bahawa orang Islam bukan pengganas.

"Kita manusia normal, kita bercakap dengan orang lain. Kita berkelakuan baik dan tidak melakukan apa-apa kesalahan kepada mereka," katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 29 Januari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking