Jumaat 19 April 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 30 Januari - Malaysia di tangga ke-61 Indeks Persepsi Rasuah 2018

30 Januari - Malaysia di tangga ke-61 Indeks Persepsi Rasuah 2018

30.1 cpi

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga 61 daripada 180 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahunan pada 2018, berbanding kedudukan ke-62 pada 2017.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar, berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), negara berjaya mengekalkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI pada tahun lalu dan 2017.

Katanya, skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

“Kedudukan Malaysia setakat ini agak memuaskan dan masyarakat meletakkan keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“PH baru mengambil alih pentadbiran negara tujuh bulan lalu dan sekiranya kerajaan kekalkan momentum dalam memerangi rasuah, tidak mustahil kedudukan negara boleh meningkat.

“Paling utama, kerajaan perlu memperkasakan integriti dan membanteras rasuah dengan lebih berani,” katanya dalam sidang media di Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), hari ini.

Denmark dan New Zealand diumumkan sebagai negara paling bersih rasuah dengan catatan skor masing-masing sebanyak 88 dan 87 manakala Somalia, Sudan Selatan dan Syria menduduki tangga terbawah.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata PH perlu bekerja keras menunaikan janji manifesto bagi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

“Masyarakat sedar akan usaha Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memerangi rasuah dan pemimpin lain sewajarnya sama-sama berjuang ke arah negara yang lebih baik.

“Selain itu, kerajaan perlu mengekalkan pemberian kontrak secara tender terbuka bagi membanteras gejala rasuah.

“Langkah itu dapat memastikan kontrak diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak menerimanya,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 29 Januari 2019

Real time web analytics, Heat map tracking