Jumaat 19 April 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 4 Februari - Jangan letak harga songket, batik seperti Proton Saga - Mohamaddin Ketapi

4 Februari - Jangan letak harga songket, batik seperti Proton Saga - Mohamaddin Ketapi

4.2 motac

BESUT: Pengusaha batik dan songket di negara ini disaran bijak meletakkan harga berpatutan dan berdaya saing demi menarik kembali minat penggemar fabrik itu, terutama rakyat tempatan, sekali gus merancakkan semula industri itu yang kini dikatakan suram.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata ada keluhan, terutama oleh penggemar dan peminat fabrik itu, mengenai harga yang kadangkala terlalu tinggi dalam pasaran sehingga ‘menggerunkan’ mereka untuk membelinya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan ramai dalam kalangan mereka beralih kepada fabrik tiruan dari negara luar kerana dikatakan jauh lebih murah dan berpatutan.

“Saya sendiri pun, kalau harga songket atau batik sama dengan sebuah kereta Proton Saga, saya pun akan pilih yang lebih murah.

“Kita kena ingat sebab bukan semua orang mempunyai wang banyak untuk memiliki songket atau batik yang sebegitu mahal,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus komuniti kraf daerah Besut di Desa Ukiran Kayu, di sini, hari ini.

Kira-kira 100 usahawan dan penggiat seni ukiran kayu daerah Besut juga menghadiri majlis itu.

Dalam pada itu, Mohamaddin menyarankan lebih banyak jabatan kerajaan menggunakan seni ukiran kraf tempatan, terutama pada bangunan baharu, bagi membantu penggiat seni ukiran kayu tempatan yang sering berhadapan kesulitan mengembangkan perniagaan.

“Ini tidak bermaksud semua bangunan kerajaan kena ditukar pintu atau daun tingkapnya dengan ukiran kraf, hanya bangunan baharu... mungkin boleh mulakan dengan bangunan jabatan bawah kementerian saya bagi tujuan itu,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian Online, 3 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking