Jumaat 19 April 2019
A- A A+

4 Februari - KDN buru 'musuh dalam selimut'

4.2 kdn

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri akan meningkatkan usaha mengesan dalang atau `musuh dalam selimut’ membabitkan pegawai dan kakitangan agensi penguat kuasa bawah kementerian itu yang membocorkan maklumat operasi.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata pihaknya serius memerangi golongan itu kerana bersekongkol dengan sindiket berkaitan dadah atau jenayah lain sehingga menjejaskan operasi agensi penguat kuasa.

Beliau berkata, kewujudan dalang berkenaan adalah punca utama banyak operasi agensi penguat kuasa gagal kerana maklumat berkaitan operasi dijalankan sudah dimaklum kepada penjenayah disasarkan.

“Kadang-kadang, kita nampak dengan jelas operasi dilakukan pihak polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan agensi lain, apabila ditangkap kebanyakannya yang kecil-kecil atau ‘ikan bilis’, tetapi kenapa ‘jerung besar’ tidak berjaya kita tangkap.

“Puncanya ada dalang... ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Apa yang menyedihkan ialah ada kakitangan dan pegawai agensi kita menjadi dalang kepada sindiket dengan membocorkan maklumat apabila kita melakukan operasi menangkap ‘jerung besar’ ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Skuad ‘Realisasi Aspirasi Kesejahteraan Komuniti’ anjuran AADK di Kampung Darau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beberapa pegawai dan kakitangan sudah ditahan serta dikenakan tindakan, namun masih ada yang perlu dibersihkan bagi memastikan operasi agensi penguat kuasa tidak terjejas.

Sementara itu, beliau berkata, undang-undang berkaitan dadah di negara ini perlu disemak semula bagi menilai keberkesanannya dalam usaha menangani jenayah berkenaan yang hingga kini masih diletakkan sebagai musuh nombor satu negara.

Katanya, langkah itu perlu bagi melihat kelemahan dalam undang-undang sedia ada yang menyebabkan kes berkaitan jenayah dadah terus berlaku.

Beliau berkata, walaupun Malaysia ialah antara negara yang melaksanakan hukuman berat gantung hingga mati bagi yang disabitkan kesalahan mengedar dadah, pengedaran pelbagai jenis dadah masih terus berlaku.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita melihat undang-undang yang ada di negara kita. Kalau ia gagal, apa sebabnya, kenapa boleh berlaku keadaan ini dan pengedaran dadah masih terus berlaku.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun ada sebut dadah dijual secara terbuka di kawasan perumahan, sedangkan kita ada undang-undang begitu keras dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata, kajian semula undang-undang berkaitan dadah yang akan dimulakan pada peringkat kementerian itu juga mengambil kira pelbagai modus operandi penjenayah dadah.

Katanya, ia termasuk menggunakan kanak-kanak sebagai penjual dadah yang dikenal pasti turut berlaku di negara ini.

“Apabila undang-undang keras, mereka menggunakan kanak-kanak pula sebab golongan ini kalau ditangkap, undang-undangnya berlainan dengan penjenayah dewasa, mungkin diletakkan sebagai pesalah juvana sahaja. Jadi, ada kelemahannya dan kita akan kaji,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 3 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking