Jumaat 22 February 2019
A- A A+
  • Utama
  • Berita
  • 4 Februari - Tanaman kontan boleh tampung kejatuhan harga sawit, getah - PM

4 Februari - Tanaman kontan boleh tampung kejatuhan harga sawit, getah - PM

4.2 pmii

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, krisis kejatuhan harga sawit dan getah yang memberi tekanan terhadap peladang, dapat diatasi dengan penanaman ‘cash crop’ atau tanaman kontan di ladang masing-masing.

Perdana Menteri berkata, tanaman yang dapat memberi pulangan harian itu membolehkan peladang terus memperoleh pendapatan, sekali gus tidak terjejas teruk dengan kejatuhan harga sawit dan getah.

Beliau berkata, tanaman seumpama itu tidak memerlukan kawasan luas, namun perlu dilaksanakan secara serius dengan kaedah pertanian moden secara teratur dan tersusun.

“Hari ini, apabila harga sawit jatuh, kita akan menangis, tetapi kalau satu bahagian dalam ladang kelapa sawit ditanam ‘cash crop’, tanaman yang boleh memberi pulangan harian, maka kita tidak akan terperangkap dengan kejatuhan harga kelapa sawit atau getah.

“Kalau kita ada tanah, kita perlu ada perladangan campuran, jangan pegang pada satu jenis (tanaman) saja kerana apabila harga jatuh, kita akan menghadapi masalah.

“Ada pelbagai jenis tanaman ‘cash crop’ seperti timun, cili dan tomato. Jika gilirkan tanaman ini mengikut keperluan pasaran, kita tidak akan putus pendapatan hanya kerana harga satu jenis tanaman yang kita monopoli jatuh,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui satu video dimuat naik dalam Facebook rasminya, hari ini, ketika melawat beberapa kebun pertanian moden di sekitar Selangor, hari ini.

Antara kebun pertanian dikunjungi Perdana Menteri ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jalan Kebun, Klang; Taman Agro-Fertigasi, Kajang, dan TKPM Bukit Changgang (Tanaman Orkid), Banting.

Dr Mahathir turut meluangkan masa bersama beberapa petani muda bagi mendengar sendiri perkongsian pengalaman, luahan dan cabaran dihadapi mereka, selain melahirkan kekaguman melihat tanaman sayur-sayuran yang dibuat secara teratur dan tersusun menggunakan kaedah moden dibangunkan sendiri anak tempatan.

Perdana Menteri berkata, kaedah pertanian itu memerlukan anak muda yang terlatih dan berdisiplin, selain menekankan aspek disiplin sebagai kunci untuk maju.

Beliau berkata, peladang juga perlu mengurangkan kebergantungan kepada pekerja, terutama warga asing, sebaliknya melakukan sendiri tugas di ladang, melainkan ada keperluan mengupah pekerja.

“Seboleh-bolehnya kita sendiri tunjuk keghairahan pada kerja kita dan kita akan berjaya, tapi jika buat ini secara sambilan, tanam di belakang rumah, ini tak jadi.

“Kita kena tukar cara dan kita akan berjaya sebagai seorang peladang moden, ‘gentleman farmers’, itulah hasrat kita,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online, 3 Februari 2019
Sumber Foto : NSTP

Real time web analytics, Heat map tracking