Isnin 12 November 2018
A- A A+

Keunikan Masyarakat Baba dan Nyonya

 

baba

Keunikan tertera pada pakaian dan perabut masyarakat Baba dan Nyonya

Asal Usul Peranakan Cina
Masyarakat Baba Nyonya dikenali juga sebagai kaum peranakan dan mereka merupakan kaum minoriti yang dipercayai berasal dari Melaka. Baba dan Nyonya di  Melaka adalah Cina Peranakan di mana nenek moyang mereka telah datang dan berkahwin dengan wanita tempatan. Kaum ini kebanyakannya berasal dari wilayah Hokkien, China yang berhijrah ke Melaka 600 tahun dulu ketika Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan.

Perkahwinan campur seperti ini telah melahirkan budaya Cina yang unik serta tradisi Melayu. Pada mulanya mereka datang ke Melaka untuk berdagang dan mencari pekerjaan dan berkahwin dengan wanita tempatan di mana anak lelaki dipanggil Baba dan anak perempuan disebut Nyonya.


Mewarisi Tradisi
Masyarakat Baba dan Nyonya sedikit sebanyak telah mewarisi budaya masyarakat Melayu khususnya. Oleh itu sehingga kini masih ada lagi masyarakat Baba dan Nyonya yang menjadikan amalan dan pegangan masyarakat Melayu dalam kehidupan seharian mereka.


Banyak pantang larang dan kepercayaan masyarakat Melayu telah diasimilasikan dalam kebudayaan masyarakat Baba dan Nyonya. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa masyarakat Baba dan Nyonya mempunyai mirip yang sama dengan masyarakat Melayu.


Bahasa yang digunakan
Masyarakat baba Nyonya di Melaka fasih bertutur bahasa Melayu dan mengikut fakta sejarah  golongan ini  mempunyai pertalian dengan darah keturunan Melayu di mana mereka fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Selain menggunakan Bahasa Melayu dalam pertuturan seharian mereka juga boleh bertutur bahasa Hokkien.


Pakaian

Kebanyakan mereka berpakaian kebaya dan sarung batik yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. manakala dari aspek kerohanian dan keagamaan mereka mempunyai banyak persamaan dengan keturunan Cina.

Makanan

Masyarakat ini amat masyhur dengan pelbagai masakan tradisional yang begitu sedap dan menarik di mana mempunyai persamaan dengan masakan masyarakat Melayu.
Kebanyakan mereka berpakaian kebaya, sarung dan sebagainya yang merupakan pakaian tradisional nenek moyang mereka.
Mereka makan dengan tangan  dan masakan  gulai adalah menjadi kegemaran masyarakat ini. Masakan seperti  masak lemak, asam pedas, dan sambal belacan menjadi kegermaran seharian.


Pantang  Larang

Masyarakat Baba dan Nyonya masih lagi percaya kepada pawang dan bomoh. Kebiasaannya mereka pergi berjumpa bomoh apabila seseorang bayi sentiasa menangis dengan tidak henti-henti. Mereka percaya bahawa anak mereka telah disampuk dengan jin ataupun hantu. Tujuan mereka pergi berjumpa dengan pawang tersebut untuk meminta tolong menghalau atau membuang jin atau hantu tersebut daripada mengganggu anak mereka.

Ibu yang hamil tidak boleh keluar rumah pada waktu senja. Pada waktu tersebut dikatakan syaitan, iblis, dan hantu mula berkeliaran. Mereka percaya bahawa darah ibu yang mengandung anak sulung sangat disukai oleh pontianak dan langsuir. Sekiranya terpaksa juga keluar, ibu tersebut dikehendaki membawa barangan yang diperbuat daripada besi, antaranya pisau untuk menakutkan hantu.
Selain itu juga, masyarakat Baba dan Nyonya juga percaya akan perubatan tradisional dalam perubatan penyakit. Contohnya dalam penyakit demam campak atau ‘Chicken Pox’, masyarakat Baba dan Nyonya akan berjumpa dengan bomoh untuk mendapatkan air penawar untuk diminum dan dijadikan air untuk mandi.

Muzik

Hasil penyelidikan telah menggambarkan masyarakat Baba dan Nyonya telah melatari kehidupan mereka dengan budaya Melayu terutamanya Dondang Sayang yang dilagukan dalam upacara-upacara yang tertentu sahaja dan ketika diperlukan. Bagi generasi kini, Muzik yang berunsurkan tradisional seperti pantun atau keroncong yang popular dalam kalangan masyarakat Baba dan Nyonya seketika dahulu kini telah berkurangan.


Kesimpulan
Masyarakat Baba dan Nyonya masih teguh mengamalkan cara hidup kemelayuan sehingga kini. Mereka sayang untuk meninggalkan budaya yang unik itu begitu sahaja. Mereka sanggup mempertahankan budaya masyarakat Baba dan Nyonya. Percampuran budaya dan adat antara masyarakat Cina dan masyarakat Melayu telah membuktikan akan keakraban dan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut, malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.

 

Sumber Rujukan  :   Berita Harian -6/9/2010
Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka
ASWARA


Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking