Isnin 17 December 2018
A- A A+

Pembinaan Negara Dan Bangsa Malaysia

bangsa-malaysia2

Semangat toleransi dan persefahaman dapat membina satu kesamaan identiti yang kukuh dalam pembentukan negara bangsa

Negara Ialah sekumpulan manusia yang menduduki sesebuah wilayah yang tetap di bawah pemerintahan dan penyelenggaraan sebuah kerajaan dan tidak tertakluk kepada kuasa luar. Bangsa pula merujuk kepada satu komuniti orang ramai (komuniti politik) yang terbentuk dalam sejarah, dipertautkan melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, serta mempunyai unsur-unsur subjektif bersama yang merangkumi bahasa, budaya, sastera dan nama bersama yang dikongsi bersama. Negara bangsa mendefinasikan kepada pembentukan berasaskan kepada proses penyatuan bangsa serta diperkuatkan lagi dengan persempadanan wilayah tertentu sebagai identiti. Lahir pada zaman moden di mana penduduknya daripada pelbagai etnik.

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah Pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Salah satu syarat Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa tadbir urus kepada tiga bahagian iaitu Kuasa Eksekutif, Kuasa Kehakiman dan Kuasa Perundangan. Pembahagian kuasa ini dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Negara bangsa Malaysia mempunyai masyarakat yang bersatu –padu dan saling hormat menghormati. Mereka mengamalkan konsep penerimaan, walaupun mereka berbeza kaum. Bagi mengharmonikan Negara Malaysia, rakyat Malaysia perlu berkongsi pegangan dengan satu ideologi politik. Kestabilan politik menjamin kesejahteraan Negara. Selain itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu yakin dengan pemerintahan Negara dan Undang-Undang Negara Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah undang-undang bertulis yang tertinggi di Malaysia dan menjadi rujukan utama bagi pentadbiran negara.

Pemangkinan Negara bangsa memerlukan integrasi dalam masyarakat Malaysia. Walaupun berbeza dari  segi pemahaman dan kepercayaan, pemupukan dan pengukuhan perpaduan adalah agenda utama kerajaan untuk membentuk Negara aman dan makmur. Selain itu sebagai rakyat Malaysia kita perlu menanam semangat nasionalism dalam diri. Sesungguhnya nasionalisme masih diperlukan dalam zaman globalisasi ini, masih penting dan ia masih berperanan. Nasionalisme ini bukan berkehendak kita pikul senjata. Ia memerlukan kepintaran dan perpaduan, memerlukan strategi yang bijak, dan hati yang cekal.

Kesimpulanya, pembinaan negara bangsa memerlukan penyertaan menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat & jentera kerajaan. Kita perlu memahami, menghayati, mengaplikasi  supaya proses pembinaan negara menjadi lebih kukuh. Kita perlu bijak dan bersedia dalam menangani ancaman untuk memusnahkan negara bangsa. Satu nilai dikongsi bersama perlu diwujudkan dan dihargai oleh seluruh warganegara Malaysia.

 

Artikel dimasukkan pada 06 Mei 2011

Cetak Emel

Real time web analytics, Heat map tracking