Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Dasar Wanita Negara 2009

MUKADIMAH

Dasar Wanita Negara Kedua adalah kesinambungan kepada Dasar Wanita Negara Pertama 1989 dengan mengambil kira isu, peluang, cabaran dan persekitaran masa kini dan yang akan datang. Berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan negara yang seimbang dan lestari.

women

Dasar Wanita Negara ini mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender  seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), Deklarasi dan Pelan Tindakan Beijing (Beijing Platform for Action), Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) serta Deklarasi Putrajaya dan Program Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM Putrajaya Declaration).

Dasar ini berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita yang berilmu dan berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi serta menghayati nilai-nilai murni.


HALA TUJU

Dasar ini bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan pelaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk negara yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara.


STRATEGI

Dasar ini dilengkapi dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencapai objektif dan matlamat Dasar Wanita Negara. PTPW mengandungi strategi yang meliputi 13 sektor iaitu:

  • Ekonomi
  • Kemiskinan
  • Undang-undang
  • Keganasan terhadap wanita
  • Kesihatan
  • Pendidikan dan latihan
  • Sains dan teknologi
  • Pembuat keputusan
  • Mekanisme, jentera dan institusi pembangunan wanita
  • Media
  • Alam sekitar
  • Sukan
  • Kebudayaan, kesenian dan warisan.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Wanita Negara berhasrat menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya dalam perancangan dan pembangunan negara untuk mencapai kesaksamaan gender.

 
MATLAMAT

Matlamat Dasar Wanita Negara adalah untuk:

1.  Membangun potensi dan mendayaupayakan wanita dari pelbagai lapisan masyarakat dan dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara;

2.  Menyediakan persekitaran yang kondusif, termasuk penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita dalam semua aspek termasuk fizikal, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, psikologi dan kerohanian;

3.  Membudayakan kesaksamaan gender di kalangan semua lapisan masyarakat dalam semua sektor;

4.  Memastikan pandangan dan suara wanita diterima pakai dalam proses membuat keputusan di semua peringkat;

5.  Mencapai perkongsian saksama antara wanita dengan lelaki dalam memperoleh dan mengawal sumber dan peluang penyertaan serta menikmati manfaat pembangunan; dan


6. Meningkat dan mengukuhkan perkongsian adil dan saksama antara wanita dengan lelaki dalam semua aspek kehidupan bagi memantapkan institusi keluarga serta membangunkan komuniti dan masyarakat.


STRATEGI PELAKSANAAN


Beberapa strategi telah digariskan bagi melaksanakan dasar ini, iaitu :
 
1. Mengarusperdanakan perspektif gender dalam penggubalan dasar dan perundangan, perancangan, pelaksanaan dan penilaian program, projek dan penyediaan bajet untuk pembangunan.

2. Meningkatkan komitmen di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, termasuk penggubal dasar, pembuat keputusan dan pihak penguat kuasa di sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil, bagi menghormati dan memelihara martabat wanita.

 3. Mengkaji semula undang-undang dan peraturan sedia ada dan menggubal perundangan dan peraturan baru bagi menjamin tiada diskriminasi berasaskan gender, perlindungan, keselamatan, hak-hak dan maruah wanita terpelihara dan mengambil langkah-langkah supaya penguatkuasaan undang-undang berkenaan berkesan.

4. Menjalankan penyelidikan mengenai aspek gender bagi menjana pendekatan inovatif dan kreatif dalam penggubalan dasar dan perancangan serta pelaksanaan program.


5. Melaksanakan sepenuhnya pengumpulan, penganalisaan dan pengaplikasian data dan maklumat oleh agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan mengikut pecahan jantina untuk tujuan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

6. Meningkatkan kapasiti dan keupayaan wanita dalam semua bidang bagi memastikan penglibatan mereka yang berkesan dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara, termasuk penglibatan dalam politik dan proses membuat keputusan.

7. Memperkukuh dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita melalui kerjasama dan sinergi antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa, dan juga menambah serta mempelbagaikan peluang serta menggerakkan sumber, maklumat dan kepakaran di kalangan wanita.


PENDEKATAN PELAKSANAAN

Bagi memastikan matlamat Dasar Wanita Negara tercapai dan PTPW dapat dilaksanakan dengan berkesan, beberapa pendekatan digariskan :
 
i. Semua agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil perlu mengambil tindakan sebagaimana ditetapkan di bawah PTPW;

ii. Sumber manusia yang berpengetahuan, terlatih dan peka gender dengan kepakaran khusus hendaklah disediakan dan sumber kewangan hendaklah mencukupi;


iii. Langkah-langkah khas sementara seperti affirmative action, preferential treatment atau sistem kuota wajar diambil untuk memajukan wanita dalam semua sektor;

iv. perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian aktiviti-aktiviti di bawah PTPW dipertanggungjawabkan kepada agensi pelaksana yang berkenaan mengikut bidang kuasa masing-masing;

v. Pewujudan pangkalan data pusat untuk mengintegrasikan data berdasarkan gender dari pelbagai sumber termasuk agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan;


vi. Pewujudan multisektor sinergi di kalangan semua agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil; dan

vii. KPWKM bertindak sebagai agensi teraju bagi menyelaraskan aktiviti advokasi, pemantauan dan penilaian secara keseluruhan termasuk kajian semula kesesuaian dasar dan strategi pelaksanaan PTPW setiap tiga tahun sekali atau mengikut keperluan.


PENUTUP

Kejayaan dasar ini bergantung kepada komitmen dan sokongan semua pihak terutama kepimpinan tertinggi serta kerjasama agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil. Kesediaan semua pihak untuk menerima anjakan paradigma merupakan prasyarat kepada kejayaan pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan PTPW.

Dasar Wanita Negara merupakan dasar pembangunan sosio- ekonomi yang merangkumi falsafah, inspirasi dan aspirasi wanita daripada pelbagai peringkat umur, lapisan masyarakat dan semua sektor. Pelaksanaan dasar ini menjadi agenda utama kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang maju, dinamik dan berdaya saing serta penyayang, adil dan saksama.

 
Sumber : Kementerian Pembangunan  Wanita , Keluarga dan Masyarakat                       
               Akhbar Utusan Malaysia
               Akhbar Berita Harian