Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Isu Rasuah Di Malaysia

Definisi Rasuah

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:

  • Meminta/Menerima Rasuah
  • Menawar/Memberi Rasuah
  • Membuat Tuntutan Palsu
  • Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

expose20corruption ap_bribingkids corruption_main2

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Bukti Kesungguhan Pak Lah

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang diluluskan kelmarin, selepas dibentangkan di Parlimen melegakan semua pihak kerana kini negara berada di landasan tepat untuk mencapai tahap integriti yang selari dengan pembangunan negara menjelang 2020.

Selepas dibahaskan selama dua hari membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, akhirnya ia diluluskan menerusi suara majoriti anggota Dewan yang bersidang dalam suasana agak tegang. Ternyata hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang mahu melihat perubahan dalam sistem penyampaian kerajaan ketika mula memegang jawatan pada 2004, mula menampakkan hasil.

Ia bermula dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia yang bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pentadbiran dan tadbir urus negara, diikuti SPRM, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Program Perlindungan Saksi.

Semua ini adalah ilham Abdullah ketika mengambil alih jawatan untuk memperlihatkan keterbukaan dalam pentadbiran kerajaan, malah ia menjadi sebahagian manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004. Seperti dijangkakan, perubahan berlaku secara berperingkat-peringkat dalam usaha kerajaan merealisasikan Wawasan 2020, untuk menjadikan negara dalam kelompok negara maju. SPRM yang bakal menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mulai Januari depan, mempunyai struktur pentadbiran dan bidang pelaksanaan yang menyeluruh serta mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan.

Sebagai rakyat, kita cukup gembira dengan pembentukan suruhanjaya ini, selepas melihat gejala rasuah dan penyelewengan yang merebak dalam masyarakat sehingga menjejaskan imej kerajaan dan membantutkan pembangunan negara. Kita yakin SPRM yang mengambil pendekatan dilaksanakan Pentadbiran Hong Kong dalam mencegah rasuah selama 30 tahun, akan beroleh kejayaan berikutan gejala rasuah di negara ini masih pada tahap terkawal. Dengan lebih 5,000 kakitangan SPRM yang diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah, hasrat kerajaan untuk menghapuskan gejala itu sudah pasti mampu dicapai, terutama dengan sokongan seluruh rakyat.

Malah, cadangan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mendengar dan membicarakan kes rasuah yang berlaku di negara ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan membanteras rasuah dan penyelewengan sehingga ke akar umbi. Begitu juga Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang turut dibahaskan di Parlimen bakal memantapkan lagi institusi berkenaan selepas terjejas teruk berikutan krisis kehakiman yang melanda sebelum ini. Kita berharap semua pihak terus memberi sokongan padu kepada usaha kerajaan bagi memantapkan lagi pentadbiran supaya tadbir urus yang dijalankan telus dan memanfaatkan rakyat.
Pentadbiran telus dan berwibawa amat penting bagi membawa negara ini melepasi halangan dan krisis ekonomi yang tidak nampak penghujungnya. Jadi menerusi rang undang-undang bersejarah ini, semua pihak perlu melihat ke depan untuk bersama berganding bahu dengan kerajaan dalam mencapai Misi Nasional negara.

Penjawat Awam Perlu Integriti Atasi Cabaran Ekonomi: Najib

corruption02

Datuk Seri Najib Razak menggariskan enam pendekatan yang perlu diamalkan kakitangan awam bagi menghadapi cabaran krisis ekonomi global, termasuk meminta pegawai peringkat atasan mengurangkan kuasa membuat keputusan mengikut budi bicara bagi mengelak amalan rasuah.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, mereka perlu sentiasa berpegang kepada nilai integriti dalam sistem kerajaan, sekali gus menjadikan sektor perkhidmatan awam mempunyai integriti tinggi.

Najib berkata, pendekatan lain perlu diberi perhatian kakitangan awam, terutama Kementerian Kewangan ialah memperkukuhkan modal keintelektualan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan tepat.

Beliau berkata, Perbendaharaan yang turut menyediakan perkhidmatan kepada agensi dan kementerian lain perlu meningkatkan keberkesanan sistem penyampaiannya.

Najib juga meminta pegawai dan kakitangan awam menggunakan kemampuan daya fikir untuk memberi idea yang lebih baik, inovatif dan kreatif bagi menghasilkan keputusan dan menyelesaikan sesuatu masalah.

Beliau berkata, kakitangan awam juga perlu mementingkan keputusan atau hasil projek pembangunan yang berkesan bagi memenuhi objektif setiap kementerian dan kerajaan.

Katanya, mereka juga perlu sentiasa memastikan setiap peruntukan yang disediakan kerajaan untuk projek pembangunan dapat memberi nilai sewajarnya.

Selain itu, Najib berkata, tahun ini dan tahun akan datang amat mencabar bagi Perbendaharaan untuk menangani kesan krisis ekonomi.

Mahkamah Khas Rasuah Permulaan Sebuah Era Baru
Oleh Abdul Rahman Sulaiman
Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya

mahkamah-tinggi

CADANGAN kerajaan mewujudkan mahkamah khas untuk mendengar dan membicarakan kes rasuah seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin, memberi petanda yang cukup meyakinkan mengenai kesungguhan pihak berkuasa dalam memerangi jenayah yang boleh menghancurkan negara itu.

Menurut Nazri, yang membuat pengumuman itu ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kemudian diluluskan di Dewan Rakyat, penubuhan mahkamah berkenaan bukan saja dapat mengatasi masalah kes tertunggak, tetapi juga membuktikan kesungguhan kerajaan menerima cadangan orang ramai, termasuk daripada pembangkang.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang SPRM sebelum itu beberapa anggota Dewan Rakyat mencadangkan agar mahkamah seumpama itu ditubuhkan bagi mengurangkan beban mahkamah biasa yang memang sudah dibebani dengan timbunan kes jenayah lain dan sivil.

Dengan adanya mahkamah yang tugasnya semata-mata untuk mengendalikan kes berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya, maka sudah pasti kes demikian dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan licin tanpa terpaksa menunggu senarai giliran yang panjang.

Ia diharapkan dapat memberi kepuasan kepada orang ramai yang sentiasa sinis terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah selama ini. Memang tidak dinafikan bahawa persepsi umum, termasuk di kalangan orang luar, mengenai rasuah di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan kurang baik, walaupun kegiatan tidak bermoral itu tidak seburuk di sesetengah negara membangun lain.

Berdasarkan kepada persepsi negatif ini, maka penubuhan Mahkamah Khas Rasuah seiring dengan kelulusan yang diberikan Parlimen terhadap penubuhan SPRM nanti, serta pembentukan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) dan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi 2008 yang sedang dan akan dibahaskan, tidak syak lagi akan membuka era atau lembaran baru dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Perlu diingat bahawa usaha memerangi rasuah berbentuk dua dimensi, iaitu pencegahan dan pendakwaan. Dalam hubungan ini, penubuhan mahkamah khas, SPRM, SPK dan Akta Perlindungan Saksi ditambah dengan usaha yang sedang dijalankan institusi sedia ada seperti Institut Integriti Nasional, diharapkan mampu berfungsi sebagai infrastruktur yang akan menakutkan individu atau golongan yang mempunyai kecenderungan rasuah.

Jika ini boleh dijelmakan sebagai kenyataan, maka sebahagian daripada peperangan terhadap rasuah sudah berjaya. Pendakwaan hanya akan berperanan sebagai pelengkap kepada usaha itu.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa pendakwaan dan hukuman tidak penting. Adalah sesuatu yang lumrah bahawa manusia itu terdiri daripada dua jenis – yang baik dan jahat. Individu yang secara tabiatnya jahat akan terus memiliki kecenderungan untuk membuat kejahatan, termasuk melakukan rasuah, walau sehebat dan seberat mana peraturan yang ditetapkan atau hukuman yang dikenakan.

Oleh itu, langkah selanjutnya tentulah keperluan untuk menzahirkan dalam bentuk tindakan hasrat yang tersemat di sebalik penubuhan pelbagai entiti dan undang-undang yang sudah dan akan diluluskan Parlimen nanti.

Satu-satunya perkembangan yang orang ramai mahu lihat nanti tentulah lebih banyak kes berkaitan rasuah, khususnya yang besar-besar, disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Ini akan secara langsung meningkatkan keyakinan orang ramai, termasuk pelabur dari dalam dan luar negara, sekali gus memperbaiki imej Malaysia pada mata dunia. Semua ini akan memberi sumbangan positif terhadap usaha menarik pelaburan tempatan dan asing untuk menambah kemakmuran negara dan rakyat.

Masalah kesukaran memperoleh bukti, keengganan saksi tampil ke hadapan, kekurangan kakitangan dan pegawai dan sebagainya yang selama ini sering menghindar usaha Badan Pencegah Rasuah sepatutnya tidak akan wujud lagi dengan adanya SPRM dan Akta Perlindungan Saksi.

Di lihat dari perspektif ini, adalah jelas bahawa tindakan perundangan yang digerakkan sepanjang minggu ini untuk merintis jalan bagi penubuhan SPRM dan SPK serta pengenalan undang-undang baru untuk melindungi saksi dan mengawal tingkah laku hakim adalah lebih daripada usaha menunaikan janji yang pernah dibuat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 2004.

Ia juga lebih daripada usaha peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti yang cuba diuar-uar sesetengah pihak, untuk meninggalkan legasi pemerintahannya sebelum melepaskan jawatan Mac tahun depan.

Sesungguhnya, usaha itu adalah permulaan sebuah era baru dalam sejarah negara memerangi rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai bentuk penyelewengan. Semoga satu hari nanti, negara ini dikenali dan diiktiraf sebagai negara paling bersih di dunia.

Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Oleh Abdul Rahman Sulaiman
Alamat emel ini dilindungi daripada spambots, anda perlu membenarkan JavaScript untuk melihatnya
Sumber : Mingguan Malaysia

Pandangan Islam Mengenai Rasuah

gari bribery fighting-corruption

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :
“Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.
Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :
“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.
Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

Punca Berlakunya Rasuah

Antara punca berlakunya rasuah ialah :


a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa.
Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.


b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.


c) Sosial dan budaya.
Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.


d) Modenisasi.
Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya.

Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik.
Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

Kesan-Kesan Rasuah


Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Langkah-Langkah Mencegah Rasuah

Antara Langkah Mencegah Rasuah Adalah Seperti Berikut :


Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jatidiri
Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

Memasukkan Bahaya Rasuah Dalam Sistem Pendidikan
Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman
Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

Memudahkan Urusan Menggunakan ICT
Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.

Sumber :http://www.islam.gov.my