Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Isu dan Perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)





Cadangan untuk mengganti sistem cukai jualan dan perkhidmatan kepada cukai konsumpsi yang digelar sebagai GST telah diumumkan pada pembentangan bajet 2005 oleh Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Awalnya ia dicadang untuk dikuatkuasakan bermula 1 hb Januari 2007. Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan kewangan kerajaan, Bajet 2005 mencadangkan penyusunan semula sistem percukaian negara termasuk mengkaji peruntukan yang disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini katanya bertujuan untuk menjadikan sistem percukaian negara lebih berkesan dan berupaya menjana hasil negara.





GST akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada. Pada masa ini cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan tertentu termasuk profesional, hotel dan restoran. GST didakwa sebagai sistem cukai yang lebih komprehensif, efisyen, telus dan efektif. Ia juga diduga akan menambahkan pendapatan cukai tahunan untuk kerajaan. Dalam sebuah reaksi seorang pensyarah perakaunan dari UiTM berpendapat GST tidak membebankan dan akan menambahkan hasil negara.

Pada 29 November 2009 Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dalam kenyataannya telah mendakwa kerajaan akan memperoleh pendapatan cukai tahunan sebanyak RM 1 bilion dari GST. Beliau berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST. Dalam Asean hanya Malaysia, Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkannya. Ditambah lagi, dikatakan GST akan dapat mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individual.

Kini negara jiran yang melaksanakan GST adalah Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Kadar GST yang diguna oleh negara-negara ini waktu ini ialah Singapura 5%, Thailand 7%, Indonesia 10% (digelar sebagai cukai nilai tambah – VAT) dan Filipina 10%. GST dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua rang undang-undang pada Mac tahun depan (2010). Ini bermakna cukai itu akan berkuat kuasa sekitar Ogos atau September 2011.

Apa itu GST?

VAT/GST diperkenalkan di Perancis pada 1954 oleh Maurice Lauré, untuk mengganti sistem yang sangat bergantung kepada cukai yang tidak menentu berdasarkan jualan bagi menyeimbang dengan sistem cukai pendapatan yang tidak begitu berkesan.



Kini 138 negara melaksanakan Value Added Taxes (VAT) sementara beberapa negara – terutama US, mengenakan cukai jualan, biasanya cukai pada satu aras sahaja diperingkat runcit. Dalam hamper semua negara cukai-cukai ini adalah sama ada penyumbang terbesar atau penyumabang kedua besar kepada peroleh negara.



GST atau dalam Bahasa Inggeris Goods and Services Tax adalah sejenis cukai di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan oleh pengguna mengandungi elemen cukai. Sebab itulah ia juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan (consumption tax). Dalam erti kata yang lain, asasnya jauh lebih luas daripada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang.



GST adalah cukai penggunaan dan ia berasaskan konsep nilai ditambah. GST dikutip daripada pelanggan untuk pihak kerajaan oleh organisasi perniagaan yang berdaftar dengan pihak berkuasa cukai. Lazimnya, pembekal atau penjual boleh mendaftar untuk mengutip GST jika jumlah jualan tahunan bagi produk atau perkhidmatan yang dibekal melebihi jumlah tertentu yang ditetapkan.



GST diambil kira dalam setiap tahap urus niaga. Jumlah jualan barangan dan perkhidmatan (dikenali juga sebagai bekalan) merupakan jumlah nilai yang diterima oleh organisasi perniagaan (tidak termasuk GST) ke atas semua aktiviti yang dicukai.



Aktiviti yang dicukai merangkumi aktiviti yang dijalankan secara berterusan. Organisasi perniagaan yang berkenaan hendaklah membekal (atau bersetuju untuk membekal) barangan atau perkhidmatan kepada pengguna sama ada untuk tujuan mendapat untung atau tujuan lain seperti aktiviti perdagangan, pembuatan, kerjaya, persatuan atau kelab.



Harga bekalan yang dijual ditetapkan selepas mengambil kira GST. Organisasi perniagaan juga boleh menuntut kredit cukai bagi setiap GST yang telah dimasuk kira dalam bekalan yang dibeli untuk tujuan mengendalikan perniagaan. Kredit cukai ini dikenali sebagai “kredit cukai input”.









Bekalan yang dikecualikan cukai

Bagaimanapun, barangan atau perkhidmatan yang merupakan keperluan asas tidak dikenakan cukai. Di Australia, umpamanya, barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai termasuk barangan makanan asasi (kecuali makanan tersedia, makanan bawa-balik, snek, alkohol dan minuman ringan), perkhidmatan kesihatan, ubat-ubatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, utiliti, barangan tertentu yang dibekalkan oleh pertubuhan amal dan agama, dan barangan dan perkhidmatan yang dieksport.



Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. Di samping itu, jaminan kerajaan untuk mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas bertujuan untuk tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah di samping mengelak berlakunya inflasi. GST hanya dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Di samping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.



Ada yang mengsyaratkan jika diuruskan dengan baik dengan kerjasama pelbagai pihak, GST mampu meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Di samping itu, sistem ini juga dapat memastikan setiap perniagaan menyimpan rekod kewangan dengan lebih sempurna. Walaupun pelaksanaan sistem GST dianggap mencabar, tempoh yang selesa sebelum pelaksanaanya membolehkan setiap lapisan masyarakat diberi pengetahuan mengenainya.