Carian 
Search - DOCman
Search - Content
Search - Weblinks
Search - Contacts
Search - Categories
Search - Sections
Search - Newsfeeds
 Saiz Pilihan Text 

Satelit

Satelit buatan manusia yang pertama mengorbit bumi ialah Sputnik 1. Ia dibina oleh Soviet Union dan telah dilancarkan pada 4 Oktober 1957. Sputnik mempunyai orbit yang berbentuk elips dan berasa pada altitud di antara 225 hingga 950 km. Sepanjang berada di orbit ia menyiarkan isyarat bip selama 21 hari sebelum terbakar di atmosfera bumi pada 4 Januari 1958.

Satelit memerlukan teknologi yang unik dan tahan lasak bagi membolehkan ia bertahan sewaktu proses pelancaran dan menghadapi persekitaran angkasa yang ekstrim. Satelit juga perlu membawa sumber tenaganya sendiri kerana ia tidak dapat menerimanya dari bumi. Ia harus mengekalkan orientasinya atau menghadap pada arah yang tertentu bagi menjayakan misinya. Satelit perlu mengekalkan suhu yang bersesuaian ketika berada dalam keadaan panas menghadap matahari dan keadaan sejuk ruang angkasa. Ia juga mestilah mampu bertahan dengan tahap radiasi yang tinggi dan pelanggaran dengan mikrometeoroid. Kebanyakan satelit dilengkapi dengan onboard computer bagi mengawal operasi dan misi satelit tersebut.



Terdapat pelbagai jenis satelit yang telah dihantar ke angkasa seperti satelit komunikasi, satelit navigasi, satelit cuaca dan satelit pencerapan bumi. Satelit yang mengorbit bumi boleh memberikan data untuk pemetaan bumi, menentukan bentuk dan saiz bumi serta mengkaji dinamik lautan dan atmosfera. Saintis juga menggunakan satelit untuk mencerap matahari, bulan, planet-planet dan bulan-bulannya, komet-komet, bintang-bintang dan galaksi-galaksi. Hubble Space Telescope adalah merupakan pencerap am yang dilancarkan pada tahun 1990. Sesetengah satelit saintifik turut mengorbit objek lain selain daripada bumi. Contohnya seperti Mars Global Surveyor yang mengorbit planet Marikh.

Malaysia juga tidak ketinggalan untuk menghantar satelit ke angkasa iaitu TiungSAT, MeaSAT dan RazakSATTM.


Tiung SAT

82_tiungsat1

TiungSAT


26 September 2000 merupakan detik yang bersejarah untuk Malaysia apabila mikro satelit pertama negara, TiungSAT-1 telah dilancarkan ke ruang angkasa lepas dari Baikanor, Kazakhstan.

Pembangunan mikro satelit pertama ini telah dipertanggungjawabkan kepada sebuah syarikat tempatan, Astronautic Technology (M) Sdn. Bhd. Sejurus selepas TiungSAT-1 berada pada orbit yang telah ditetapkan, sistem kawalan di Stesen Kawalan Bumi ATSB yang terletak di Universiti Kebangsaan Malaysia akan terus menghantar dan menerima isyarat komunikasi untuk berhubung dengan TiungSAT-1.

TiungSAT-1 yang mempunyai berat 50 kg dan dimensi 690 x 366 x 366 mm ini beroperasi pada Orbit Bumi Rendah dengan ketinggian 650 km dari aras bumi dengan kecondongan sebanyak 65 darjah. TiungSAT-1 dilancarkan dengan membawa 3 misi iaitu pencerapan bumi, ujikaji saintifik Cosmic-Ray Energy Disposition Experiment (CEDEX) dan juga aplikasi komunikasi.

TiungSAT-1 yang dilengkapi dengan sistem Multi Spectral Earth Imaging Camera yang mempunyai resolusi 72 m dan sistem Meteorological Earth Imaging Camera dengan resolusi 1.2 km bagi menjalankan aktiviti pencerapan bumi. Kejayaan pelancaran TiungSAT-1 merupakan kejayaan awal Malaysia dalam usaha untuk meneroka bidang teknologi angkasa di Malaysia.

RazakSAT

81_razaksat

RazakSAT

Pada masa sekarang, agensi-agensi di Malaysia yang memerlukan imej-imej satelit banyak bergantung pada data, imej dan maklumat yang diperolehi daripada satelit-satelit dari luar negara. Oleh sebab satelit-satelit tersebut berada pada kedudukan orbit yang kurang sesuai, imej yang diterima biasanya lambat dan tidak dapat memenuhi permintaan pengguna dan keperluan di Malaysia.

Sebuah Medium Aperture Camera Satellite (RazakSATTM), yang merupakan satelit kecil kedua Malaysia akan berupaya membekalkan imej data yang spesifik dan kerap kepada pengguna di Malaysia dan juga negara-negara yang terletak dalam linkungan khatulistiwa.

Satelit ini membawa muatan elektro-optik dan Kamera Bukaan Saiz Sederhana (Medium-sized Aperture Camera) atau lebih dikenali sebagai MAC. Kamera ini merupakan kamera berjenis pushbroom yang terdiri daripada 5 pengesan berjenis linear (1 pengesan berjenis pankromatik dan 4 pengesan berjenis multi-spektra).

Satelit ini akan dikendalikan melalui segmen buminya yang berada di Malaysia. Segmen bumi ini terdiri daripada Stesen Kawalan Misi (MCS) dan Stesen Penerimaan Dan Pemprosesan Imej (IRPS). MCS akan digunakan untuk mengawal dan melaksanakan misi RazakSATTM, termasuklah penghasilan arahan dan penerimaan maklumat satelit. IRPS pula digunakan untuk menerima dan menganalisa imej-imej RazakSATTM sebelum diedarkan kepada pengguna.

RazakSATTM merupakan hasil kerjasama di antara Malaysia Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) dan Satrec Initiative Co. Ltd, Republic of Korea.


MeaSAT

measat

MeaSAT

Malaysia East Asia Satellite atau singkatannya MeaSAT adalah satelit swasta pertama di Malaysia yang dikendalikan oleh Measat Satellite Systems Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Binariang Sdn. Bhd.

Dengan pembelian Sistem MeaSAT, Malaysia kini telah mengambil langkah yang penting dalam peningkatan infrastruktur dan sistem komunikasi negara. Sistem MeaSAT ini menyediakan khidmat langsung-ke-rumah (DTH-Direct-to-home) yang pertama di Malaysia, dan juga perkhidmatan komunikasi asas yang menjangkau dari India ke Hawaii dan dari Jepun ke Australia Timur.

Di antara perkhidmatan DTH adalah memancarkan program-program televisyen dan program-program pendidikan ke rumah pengguna menggunakan antena kecil. Perkhidmatan komunikasi asas pula termasuklah perkhidmatan telefoni, televisyen, penyebaran data dan rangkaian perniagaan. Kedua-dua satelit MeaSAT di bina di El Segundo, California, oleh Hughes Space and Communications Company (HSC), di mana sekarang telah menjadi sebuah Pusat Pembangunan Satelit.

Satelit pertama telah dilancarkan dengan menggunakan roket Ariane pada Januari 12, 1996, dari Kourou, French Guiana. Pelancaran satelit kedua pula telah dilakukan pada November 13, 1996, juga menggunakan roket Ariane. Selain itu, HSC juga telah membekalkan alat kelengkapan untuk stesen pengawasan satelit di Pulau Langkawi, Malaysia serta melatih jurutera-jurutera Malaysia untuk mengawal dan mengoperasi satelit. Model MeaSAT Hughes 376 ini mempunyai tiga kelebihan jika dibandingkan dengan versi lazim yang lain.



Pertama, ia dapat memberikan lebih 40 peratus kuasa– iaitu melebihi 1200 watt dengan menggunakan sel-sel solar gallium arsenide berbanding dengan mengunakan silikon. MeaSAT-1 merupakan satelit komunikasi komersial yang pertama menggunakan sel-sel solar gallium arsenide.



Keduanya, antena ringan dengan bentuk gandaan tinggi (high-gain shaped) buatan HSC digunakan buat pertama kalinya untuk MeaSAT Hughes 376.

Ketiga, MeaSAT menggunakan sistem pendorong bipropellant, dan bukannya monopropellant bagi meningkatkan kecekapan pengawalan ketinggian dan kemaskinian stesen. MeaSAT-1 dijangka untuk beroperasi selama 12 tahun, manakala MeaSAT-2 selama 11 tahun.

MeaSAT-3 merupakan satelit terbaru yang dibangunkan oleh Boeing Satellite Systems International Inc. dan dilancarkan dengan menggunakan Proton Breeze M. Ianya beroperasi untuk menyediakan perkhidmatan kepada negara-negara Asia, Australia, Timur Tengah, Eropah Timur dan Afrika Timur.

Satelit seterusnya yang akan dilancarkan pada awal tahun 2009 ialah MeaSAT-3a. MeaSAT-3a dibangunkan oleh Orbital Sciences Corporation, dan dijadualkan untuk dilancar oleh Zenit-3SLB.

Sumber: Agensi Angkasa Negara